awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Pemakluman rasmi kepada SPR kekosongan luar jangka tiga DUN Perlis minggu depan - Speaker
Wanita warga emas, anak maut dalam kebakaran di PPR Dato Senu
NVIDIA sedia hantar 82,000 unit GPU H200 ke China
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Sarawak buat pelaburan strategik dalam pengurusan hutan lestari

Bernama
Bernama
27/08/2024
20:00 MYT
Sarawak buat pelaburan strategik dalam pengurusan hutan lestari
Amar Awang berkata SFM menjadi faktor penting dalam mengimbangi kesejahteraan ekonomi, sosial dan alam sekitar. - Foto fail/BERNAMA
KUCHING: Sarawak membuat pelaburan strategik dalam pengurusan hutan lestari (SFM) dan portfolio tenaga boleh diperbaharui untuk membina masa depan yang berdaya tahan dan rendah karbon selaku peneraju dalam penjagaan alam sekitar.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata SFM menjadi faktor penting dalam mengimbangi kesejahteraan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
"Ia (SFM) penting untuk meningkatkan kehidupan rakyat, mewujudkan peluang pekerjaan, menjaga alam sekitar dan membantu ekonomi secara keseluruhan dengan meningkatkan produktiviti hutan dan perkhidmatan ekosistem sambil mengurangkan kesan perubahan iklim," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Serantau Asia Pasifik berkaitan Pemulihan Landskap Hutan 2024 di sini pada Selasa.
Kira-kira 300 peserta menyertai persidangan selama tiga hari bermula hari ini sebagai platform untuk mengenal pasti dan memperkukuh amalan baik pemulihan landskap hutan bagi manfaat komuniti tempatan dan memenuhi komitmen antarabangsa.
Awang Tengah berkata Kerajaan Sarawak telah melaksanakan amalan terbaik dalam pengurusan hutan dalam komitmen terhadap SFM termasuk mewajibkan semua pemegang lesen kayu hutan jangka panjang untuk mendapatkan Pensijilan Pengurusan Hutan (FMC).
Setakat ini, beliau berkata sebanyak 34 FMC telah dikeluarkan dengan 26 bagi Unit Pengurusan Hutan (FMU) dan lapan untuk Unit Pengurusan Ladang Hutan (FPMU) merangkumi kawasan operasi, masing-masing seluas 2.38 juta hektar dan 122,800 hektar.
Awang Tengah yang juga Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar berkata kerajaan negeri turut mewajibkan semua pemegang lesen hutan melaksanakan usaha pemulihan hutan dengan tumpuan kepada degradasi hutan.
"Usaha memulihkan degradasi hutan terus menjadi keutamaan dan amat penting bagi semua pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, komuniti tempatan serta badan bukan kerajaan untuk terus terlibat secara aktif dalam inisiatif ini," katanya.
Di peringkat nasional, beliau berkata Sarawak muncul sebagai peneraju dalam Kempen Penghijauan Malaysia dengan sasaran penanaman 100 juta pokok menjelang 2025, selepas matlamat Kempen Penghijauan Sarawak untuk menanam 35 juta pokok menjelang 2025 dicapai awal tahun ini.
"Saya yakin program pemulihan landskap hutan di Sarawak bukan sahaja akan meningkatkan ekosistem hutan dengan menyokong kelestarian flora dan fauna dan meningkatkan kualiti hidup secara universal, tetapi ia juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menggalakkan sektor ekonomi alternatif," katanya.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#pengurusan hutan lestari
#SFM
#Sarawak
#alam sekitar
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan