Membawa Sarawak menuju ke arah kecemerlangan antara fokus utama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika menyampaikan ucapan perasmian sambutan Hari Sarawak 2020 yang diadakan di Miri.

Menerusi acara tersebut, Abang Johari turut menyentuh mengenai aspirasi Bumi Kenyalang dalam menjayakan misi menjadi negeri maju menjelang 2030.

Menurutnya kerajaan Sarawak telah mentadbir dan menguruskan ekonomi dan sumber asli dengan baik sehingga mampu mengembang dan mempelbagaikan asas ekonomi kukuh di samping mewujudkan rizab kewangan yang besar.

“Kita (Sarawak) memiliki rahsia dan resepi tersendiri dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dan ini hanya boleh direalisasikan dengan pembangunan ekonomi yang baik serta perpaduan di antara pelbagai kaum,” katanya.

Antara lain, Abang Johari turut menyentuh mengenai pelan perancangan jangka panjang pembangunan negeri menerusi sumber lestari, pewujudan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), pembangunan wilayah luar bandar, pembangunan sektor petrokimia, industri pertanian dan pengeluaran serta industri kreatif.

Menyentuh mengenai pertumbuhan ekonomi tahunan negeri Sarawak, beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa negeri Bumi Kenyalang mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi enam sehingga ke lapan peratus menjelang 2030.

“Walaupun dunia kini berdepan dengan COVID-19, banyak impak positif dapat kita saksikan seperti banyak peluang perniagaan yang baharu wujud sepanjang tempoh yang sukar ini.

“Justeru saya tetap yakin kita (Sarawak) mampu mencapai sasaran pertumbuhan enam sehingga ke lapan peratus ini dalam kita menuju ke sasaran menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” tambahnya.

Bagi menjayakan gagasan ini, kerajaan negeri mewujudkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) untuk melihat kepada polisi, strategi dan pelan tindakan bagi menjadikan Sarawak terus agresif dalam menjayakan reformasi ekonomi untuk tempoh lima ke sepuluh tahun mendatang.

Sambutan Hari Sarawak 2020 disambut secara maya dan bersesuaian dengan norma baharu bagi terus memerangi penularan wabak COVID-19.

Antara tetamu khas yang hadir memeriahkan acara adalah Tuan Yang Terutama Negei Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib juga Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang juga merupakan Menteri bertanggungjawab dengan penganjuran Hari Sarawak 2020.