KUCHING: Sarawak kekal sebagai satu daripada tempat pelaburan paling menarik di Malaysia meskipun pandemik COVID-19 kerana ia berjaya meraih pelaburan diluluskan bernilai RM15.7 bilion pada 2020, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan Sarawak tidak mahu hanya bergantung kepada kejayaan itu dan meneruskan penglibatan dengan pelabur asing mengenai pelaburan yang dicadangkan seperti hidrogen hijau, kenderaan elektrik, kaca dan gentian kaca.

"Saya juga gembira untuk memaklumkan bahawa empat syarikat multinasional di Sama Jaya (Zon Perindustrian Bebas berhampiran Kuching) telah memulakan rancangan pengembangan mereka yang bernilai RM6.31 bilion. Ini merupakan bukti keyakinan penuh pelabur terhadap kemampuan kerajaan Sarawak untuk menguruskan ekonomi kita berikutan pendekatan kami dalam menangani pandemik," katanya.

Bercakap ketika perasmian Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Sarawak (CMIEA) 2021 yang diadakan secara maya hari ini, beliau berkata komuniti perniagaan di negeri berkenaan telah menjalankan peranan secara aktif untuk menguruskan impak pandemik melalui sumbangan tanggungjawab sosial korporat dan memudahkan langkah vaksinasi.

"Saya ingin berterima kasih kepada persatuan perniagaan dari Sama Jaya, Samalaju (Zon Perindustrian di Bintulu), pembinaan kapal, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia, Persatuan Kayu Kayan Sarawak, Persatuan Pengilang Sarawak, Persekutuan Perniagaan Sarawak dan pihak lain kerana terlibat dalam program PPVIN (Pusat Pemberian Vaksin Industri)," katanya.
BACA SEMUA BERHUBUNG COVID-19 DI SINI


Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata sokongan penggiat industri membolehkan kerajaan negeri memberi perhatian dalam mempercepatkan vaksinasi kepada orang ramai termasuk di kawasan pedalaman.

Katanya kerajaan negeri memahami kesukaran yang dihadapi rakyat dan komuniti perniagaan akibat pandemik itu sejak dua tahun lepas, menyebabkan banyak inisiatif dan strategi dilaksanakan untuk memastikan pemulihan ekonomi.
ANDA INGIN MENGETAHUI SEMUA BERHUBUNG VAKSIN COVID-19 ADA DI SINI


Selain pakej kewangan persekutuan berjumlah RM284.5 bilion, beliau berkata kerajaan Sarawak turut menyediakan bantuan bernilai RM5.3 bilion menerusi tujuh pakej di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang turut menyasarkan komuniti perniagaan negeri.

Antara bantuan kepada komuniti perniagaan adalah Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF), Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF), Skim Kredit Mikro Sarawak (SMCS) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) dan Program Go Digital.

"Sarawak adalah satu-satunya negeri yang menyediakan subsidi faedah untuk SRF, TRRF dan PTF bagi membantu PKS tempatan mengurangkan beban kewangan mereka. Jumlah subsidi faedah bagi ketiga-tiga skim tersebut dianggarkan sebanyak RM80.7 juta," katanya.

-- BERNAMA