Kluster Jupiter di Sarawak diisytiharkan tamat selepas tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes positif COVID-19 dalam tempoh 28 hari.

Kes terakhir melibatkan kluster ini direkodkan pada 17 Julai 2020 yang lalu.

Menerusi kenyataan media oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis, secara ringkas kluster ini tiga kes bukan warganegara yang merupakan krew kapal LNG Jupiter yang berlabuh dan dikuarantin di Pelabuhan Bintulu.

“Kes pertama merupakan kes ke-580 menjadi indeks kepada kluster ini dikesan pada 13 Julai 2020 di atas kapal LNG Jupiter yang sedang dikuarantin di pelabuhan.

“Kes kedua dan ketiga masing-masing merupakan kes 585 dan 586 pula dikesan semasa saringan aktif di atas kapal pada 16 Julai 2020 dan disahkan positif pada hari yang sama,” kata kenyataan itu.

Selain itu, 35 kontak rapat iaitu seramai 30 orang krew kapal LNG Jupiter dan lima ejen syarikat perkapalan juga turut disaring.

Kesemua kes telah mendapat rawatan di Hospital Bintulu dan telah pulih serta dibenarkan discaj dari hospital.

Kes 585 dan kes 586 dilaporkan discaj pada 1 Ogos 2020 manakala kes 580 telah pulih dan discaj dari Hospital Bintulu pada 5 Ogos 2020.


Ini menjadikan jumlah kluster aktif COVID-19 di Sarawak kepada sembilan kluster melibatkan 67 kes setakat ini.

Antara lain, Sarawak hari ini juga tidak mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 yang baharu menjadikan jumlah kes positif kekal 681 kes.