Sarawak mahu diberi peluang turut buat keputusan mengenai dasar pendidikan negara - Adenan

Bernama
November 14, 2015 06:48 MYT
ADENAN: Sarawak mahu memberi pengiktirafan kepada UEC kerana terdapat juga pelajar Bumiputera menuntut di sekolah Cina. - Foto Bernama
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada Jumaat menegaskan sekali lagi bahawa Sarawak mahu ia turut diberi peluang bersuara berhubung dasar pendidikan di negara ini.
"Kami tidak mahu hanya menjadi penerima dasar pendidikan kita kerana kami akan menanggung kesan daripadanya," kata beliau.
Adenan berkata demikian pada majlis penyampaian Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak dan Pelancaran Program Hipers 2015 Yayasan Sarawak di sini pada Jumaat.
"Kami juga tidak mahu adanya apa yang dipanggil sistem 'flip-flop' di mana dasar berubah setiap tahun," katanya merujuk kepada penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam pengajaran mata pelajaran sains dan matematik di sekolah.
"Kami tidak mahu keadaan di mana tahun ini, kita guna bahasa Inggeris dan tahun depan, kembali kepada bahasa Melayu. Perlu ada ketekalan agar ia tidak mengelirukan palajar dan ibu bapa," tambah beliau.
Adenan berpendapat bahawa punca begitu banyak siswazah menganggur di negara ini ialah mereka tidak cekap dalam bahasa Inggeris.
Beliau berkata, kini Sarawak akan memberi fokus terhadap program kemahiran teknikal bagi melengkapkan diri pelajar dengan kemahiran yang diperlukan sektor industri.
"Pada abad ke-21, pelajaran teknik menjadi semakin penting. Sekiranya kita ingin maju dalam industri, kita perlu mempunyai orang yang memiliki kemahiran teknikal, bukan kemahiran akademik. Kita perlu ikut arah aliran semasa, jika tidak, kita akan ketinggalan," katanya.
Mengenai penerimaan masuk pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti, Adenan berkata beliau akan menyelesaikan salah faham tentang perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang.
Katanya, Sarawak mahu memberi pengiktirafan kepada UEC kerana terdapat juga pelajar Bumiputera menuntut di sekolah Cina.
"Ada beberapa sekolah Cina di mana anggota lembaga pengelolanya semuanya berbangsa Cina, tetapi 80 peratus pelajarnya adalah Bumiputera.
"Di sekolah seperti ini, bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia juga diajar kepada pelajar mereka," katanya.
Mengenai kekurangan kemudahan pendidikan di Sarawak, terutama di sekolah luar bandar, Adenan menggesa Yayasan Sarawak, yang beliau ialah pengerusinya, supaya meluaskan program hippersnya ke lebih banyak sekolah luar bandar agar mereka dapat menikmati kemudahan yang setara dengan yang terdapat di kawasan bandar.
#Adenan Satem #Dasar Pendidikan Negara #Ketua Menteri Sarawak