Sarawak mahu jadi hab penerbangan dunia seperti Dubai - Abang Johari

Bernama
Februari 18, 2024 20:45 MYT
Abang Johari (dua,kanan) dan Dr Sim Kui Hian (kanan) menggaul Yee Sang pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran SUPP malam tadi. - Gambar Bernama
KUCHING: Sarawak mahu menjadi hab utama penerbangan sama seperti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila syarikat penerbangannya mula beroperasi kelak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, status sebagai hab penerbangan dunia juga bakal membuka peluang ekonomi yang besar buat negeri ini.
"Jika kita gunakan model itu (Dubai) kita boleh membawa lebih banyak (peluang) ekonomi kepada rakyat kita. Sebab itu kita mahu ambil alih serta wujudkan syarikat penerbangan sendiri, bukan sahaja untuk mengimbangi harga pasaran tiket penerbangan malah untuk nilai tambah lain," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hotel Sheraton Kuching, di sini, pada Ahad malam.
Pada 20 Dis tahun lepas, Abang Johari berkata, proses akhir pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh Kerajaan Sarawak dijangka dimuktamadkan pada suku kedua atau ketiga tahun ini.
Beliau berkata, pada masa ini proses penilaian wajar terhadap syarikat itu sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bersama Kementerian Pengangkutan Persekutuan dan Khazanah Nasional Berhad. - BERNAMA
#pelancongan #syarikat penerbangan #Khazanah Nasional Berhad #MASWings