KUCHING: Sarawak bercadang untuk melaksanakan sistem vaksinasi mengikut acuan sendiri bagi mengelak rakyat negeri itu terutamanya di pedalaman terlepas daripada menerima suntikan vaksin.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata perkara itu dipertimbangkan selepas mengambil kira isu yang timbul semasa hari pertama Program Imunisasi Kebangsaan fasa kedua di Sibu sebelum ini.

“Pada 19 April, seramai 72 orang (bakal penerima vaksin) tidak berjaya dihubungi dan tidak hadir di Sibu”

“Jadi inilah kita nak elakkan supaya siapa yang sepatutnya mendapat vaksin akan dapat pada waktu yang ditetapkan”, kata Uggah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat program vaksinasi fasa kedua di Stadium Perpaduan Petra Jaya di Kuching pada Jumaat.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu, cadangan berkenaan telah diusulkan kepada kerajaan persekutuan untuk tindakan lanjut.

Tambah Uggah , pelaksanaan sistem itu diyakini sesuai dengan keadaan dan situasi di Sarawak terutama dari segi perhubungan.

“Keadaan di Sarawak lebih sukar berbanding di Semenanjung.

“Misalnya kita melihat ke kawasan pendalaman, pelbagai isu seperti perhubungan telefon akan berlaku,’’katanya.

Jelas Uggah, cadangan ini telah dipersetujui oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Jadi apabila MySejahtera menghantar data, pihaknya akan menghubungi secara terus pejabat daerah, pejabat residen.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pun bersetuju apabila mereka dapat senarai dari MySejahtera, mereka akan menghantar senarai itu kepada residen," jelasnya.