KUALA LUMPUR:400 sukarelawan diperlukan untuk mengambil bahagian dalam percubaan vaksin COVID-19.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Chin Zin Hing, percubaan vaksinasi akan dimulakan pada pertengahan Januari.

Dalam tempoh pelaksanaan ujian cubaan itu, sukarelawan terlibat dikehendaki hadir ke Hospital Umum Sarawak sebanyak enam kali.

"Kami ingin merekrut 400 orang sukarelawan yang sihat untuk mengambil bahagian dalam percubaan vaksin ini.

“Buat masa sekarang, saya tidak mempunyai maklumat terperinci berkenaan perkara ini dan ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Setelah kami memperincikan perkara ini, kami akan mengumumkan dengan lebih lanjut kepada masyarakat umum.

“Percubaan ini adalah sebahagian daripada usaha negara untuk membasmi virus COVID-19," ujar beliau ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Tambahnya, calon yang berminat harus berada dalam keadaan sihat.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan perkara tersebut, beliau memaklumkan mereka yang berminat boleh berhubung terus dengan Hospital Umum Sarawak.