KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2 juta bagi pembelian pil antiviral Paxlovid susulan peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata Timbalan Premier Datuk Amar Doughlas Unggah Embas telah ditugaskan untuk mengetuai proses perolehan pil itu.

Abang Johari berkata sebaik sahaja bekalannya diterima, ia akan diedarkan ke klinik kesihatan seluruh negeri itu secara percuma.

"Kita (Sarawak) mahu memiliki stok (Paxlovid) sekiranya berlaku lonjakan kes COVID-19 di negeri ini...kerana jika anda mempunyai gejala ringan dan diberi pil (Paxlovid) anda akan lebih baik selepas tiga hingga empat hari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku "The Life of Datuk Polycarp Sim Cheng Mong" di sini hari ini.

Pada 18 Dis, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes COVID-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Dis adalah sebanyak 20,696 kes iaitu peningkatan 62.2 peratus berbanding 12,757 kes pada ME49.

Dr Dzulkefly berkata majoriti kes atau kira-kira 97 peratus merupakan kategori satu (tiada gejala) dan dua (gejala ringan) dengan sebanyak 28 kes kematian dilaporkan.

Beliau berkata KKM dan agensi bukan KKM seperti hospital pengajar, hospital tentera dan fasiliti swasta juga bersedia untuk menghadapi sebarang peningkatan jumlah kedatangan dan kemasukan pesakit ke wad.

-- BERNAMA