Sarawak rancang galakkan pertanian rumah hijau - Uggah

Bernama
Mac 13, 2021 20:00 MYT
Menurut Uggah, pelan yang akan dilaksana di bawah Rancangan Malaysia ke-12 itu akan menelan kos RM280 juta. -Gambar/ Bernama
KUCHING: Sarawak merancang untuk mempromosikan pertanian rumah hijau di seluruh negeri di bawah Rancangan Malaysia ke-12, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 12 lokasi di Sarawak telah dikenal pasti untuk konsep pertanian persis itu.
"Kami mencadangkan perkara ini kepada kerajaan. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu kita mengubah pertanian negeri kepada satu sektor komersial yang moden dan produktif menerusi pertanian persis,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata rancangan pertanian rumah hijau yang turut menggabungkan teknologi terkini, dijangka menelan belanja RM280 juta.
“Kita kini mempunyai ladang rumah hijau di Stesen Pertanian Bersepadu Rampangi di Kuching. Ia model yang sangat berjaya dan beberapa usahawan tani di sana juga menunjukkan prestasi baik. Mereka memperoleh pendapatan menggalakkan,” katanya.
Menurut Uggah, Stesen Pertanian Tarat di Serian telah dikenal pasti sebagai satu daripada kawasan untuk projek perladangan rumah hijau.
“Projek Tarat di tapak seluas 15 hektar dijangka menelan kos kira-kira RM25 juta untuk dibangunkan,” katanya.
---BERNAMA
#pertanian #Rumah Hijau #Sarawak #Datuk Amar Douglas Uggah Embas #Timbalan Ketua Menteri Sarawak #Stesen Pertanian Bersepadu Rampangi