KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) merancang untuk melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) Siri 3 di negeri ini dalam masa terdekat.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata langkah mitigasi itu diambil bagi mendepani fenomena cuaca panas dan kering berpanjangan yang berpotensi menjejaskan sumber bekalan air serta memburukkan situasi jerebu di beberapa kawasan.
“Fokus utama OPA Siri 3 adalah di kawasan empangan dan tadahan air yang dikenal pasti kritikal, khususnya kawasan yang mempunyai kepentingan terhadap kelangsungan sumber bekalan air serta kestabilan paras air empangan.
“Pelaksanaan OPA Siri 3 tertakluk pada ketersediaan awan yang sesuai serta keadaan atmosfera dan faktor meteorologi yang mengizinkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus melaksanakan analisis dan penilaian teknikal bagi menentukan kesesuaian kawasan, masa dan keadaan atmosfera sebelum operasi berkenaan dilaksanakan.
Sementara itu, Uggah berkata situasi terkini cuaca panas, kering dan jerebu mengakibatkan peningkatan risiko kebakaran terbuka dan penurunan kualiti udara di beberapa daerah.
“Keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan berpotensi menjejaskan kualiti udara, sumber bekalan air serta meningkatkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan kawasan terbuka.
"JPBN Sarawak bersama dengan agensi berkaitan sentiasa memperkukuh pemantauan terhadap perkembangan cuaca, tahap pencemaran udara, titik panas, kebakaran hutan dan tanah gambut serta status sumber bekalan air,” katanya.
Beliau berkata setakat 12 tengah hari tadi, sembilan lokasi merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat merangkumi Serian, iaitu 182, diikuti Kuching (171), Samarahan (170), Sri Aman (162), Sarikei (158), Mukah (151), Bintulu (151), Tebedu (150) dan Lundu (102).
-- BERNAMA