[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Sarawak sasar jadi hab serantau bagi pembuatan, semikonduktor termaju

Bernama 12/09/2025 | 14:15 MYT
Abang Johari berucap pada majlis perasmian peluasan fasiliti X-FAB Sarawak hari ini. - Gambar Bernama
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengulangi komitmennya untuk menjadikan negeri itu sebagai hab serantau bagi pembuatan dan semikonduktor termaju, berteraskan tenaga boleh baharu, infrastruktur yang mantap dan pembangunan tenaga kerja.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beberapa langkah strategik sedang dilaksanakan bagi menarik pelaburan bernilai tinggi dan memperkukuh daya saing Sarawak di peringkat global.

"Komitmen kami terhadap infrastruktur, pembangunan tenaga kerja, tenaga bersih dan mampu milik serta transformasi digital adalah sebahagian strategi menyeluruh dalam menjadikan Sarawak destinasi pilihan pembuatan termaju di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran pengembangan kemudahan X-FAB Sarawak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kebergantungan negeri itu kepada tenaga hidro memberi kelebihan kepada industri dengan menyediakan bekalan tenaga bersih, boleh dipercayai dan menjimatkan kos, sejajar dengan matlamat kemampanan global, sekali gus menarik syarikat seperti X-FAB yang menekankan pemeliharaan alam sekitar.

"Dasar mesra perniagaan kerajaan negeri, kadar tarif air dan elektrik yang kompetitif serta infrastruktur mantap menjadi pemacu kejayaan ini. Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya kekal sebagai tarikan utama pelabur dengan jumlah pelaburan terkumpul mencecah RM15.4 bilion, melibatkan pelabur asing dan tempatan setakat ini," katanya.

Abang Johari berkata negeri itu juga menyasarkan untuk menarik pelaburan awam dan swasta berjumlah RM2 bilion menerusi Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030.

Bagi mencapai sasaran itu, beliau berkata Sarawak akan menjalinkan kerjasama strategik dengan lebih 10 peneraju industri global, mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, mengkomersialkan harta intelek baharu serta melatih 3,000 graduan tempatan menerusi program khusus.

Mengenai fasiliti tersebut, Abang Johari berkata pengembangan kapasiti pengeluaran X-FAB Sarawak bernilai RM3 bilion merupakan pencapaian penting bukan sahaja kepada syarikat itu tetapi juga kepada kedudukan Sarawak dalam ekosistem semikonduktor global.

Ia akan meningkatkan pengeluaran wafer bulanan X-FAB Sarawak daripada 30,000 kepada 40,000 wafer sebulan, dengan rancangan masa depan untuk meningkatkannya kepada 50,000 wafer sebulan, katanya.

Perkembangan tersebut juga, kata beliau, akan memperkukuh keupayaan tempatan dalam reka bentuk, integrasi dan inovasi semikonduktor maju, sekali gus melonjakkan Sarawak ke hadapan sebagai peneraju dalam industri semikonduktor negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan X-FAB Rudi De Winter berkata pengembangan fasiliti tersebut turut meningkatkan kemampuan tapak pengeluaran itu untuk teknologi popular 180nm BCD-on-SOI yang penting bagi pelbagai aplikasi industri.

"Saya amat menghargai sokongan berterusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kerajaan Sarawak yang membolehkan kami mencapai pencapaian penting ini demi kejayaan masa depan Kumpulan X-FAB secara keseluruhan," katanya.

-- BERNAMA


#semikonduktor #pelaburan #teknologi popular #reka bentuk integrasi