KUCHING: Sarawak bersedia dan berharap menjadi destinasi pelancongan pilihan menerusi inisiatif gelembung pelancongan selepas Langkawi.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagaimanapun, perkara itu perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Kesediaan Sarawak itu kata Abdul Karim susulan pelbagai program dan acara pelancongan yang telah diatur bersama Lembaga Pelancongan Sarawak serta Bisnes Event Sarawak.

“Bila sektor pelancongan akan dibuka saya tidak dapat umumkan. Tunggu sehingga Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) buat pengumuman baru kita lancar produk kita antaranya Program Sia Sitok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hub Sukan Tenpin Bowling Persatuan Tenpin Bowling Amatur Sarawak (ABAS)/Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Fasa Pertama di Megalanes Sarawak, Batu Kawa di sini pada Jumaat.

Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Datuk Snowdan Lawan dan Presiden ABAS Sunny Si serta yang lain.

Tambah Abdul Karim daripada gelembung pelancongan Langkawi yang bermula semalam, dapat dilihat orang ramai sangat teruja untuk kembali melancong selepas tertalu lama disekat.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar syarikat penerbangan tidak seharusnya menaikkan harga tiket secara mendadak.

"Saya mohon pihak operator kapal terbang tidak menjual tiket dengan terlalu mahal. Beberapa hari lepas saya sempat memantau harga tiket dari Kuala Lumpur ke Miri mencecah sehingga RM3000-4000.

"Saya berharap pihak Kementerian Pengangkutan juga harus memantau dan melihat isu ini sebaik mungkin. Jika Sarawak mempunyai langkah alternatif tidak mengapa tetapi jika melalui laluan udara dan sekiranya pihak operator ini tidak dikawal mereka akan mengenakan harga tiket yang begitu tinggi ianya tidak adil,” ujarnya lagi.