Sarawak serah pada PM tentukan bila PRU15 sesuai diadakan - Abang Johari

Shafik Ahmad
Jun 1, 2022 06:12 MYT
Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan keputusan membubarkan Dewan Rakyat kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memberi laluan untuk mengadakan PRU15. - Gambar fail Astro AWANI
KUCHING: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan keputusan membubarkan Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memberi laluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, Sarawak tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengadakan pilihan raya sekiranya Parlimen dibubarkan.
“Kerana pilihan raya ini pilihan kebangsaan, peringkat Parlimen kita serah kepada Perdana Menteri tentukan bila Pilihan Raya Umum Ke-15 akan diadakan.
“Sarawak tiada masalah (kerana) pembubaran Parlimen terletak di bawah kuasa Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Gawai 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Rabu.
Sebelum ini terdapat khabar angin mengatakan PRU15 mungkin akan diadakan pada tahun ini.
Tempoh penggal Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik selepas lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama persidangan Parlimen ke-14 iaitu 16 Julai 2018
Penggal itu dijangka tamat pada suku ketiga tahun depan.
Bagaimanapun, ia boleh dibubarkan lebih awal oleh Perdana Menteri.
Terdahulu, Ismail Sabri dalam wawancara bersama Nikkei Asia di Tokyo berkata, PRU15 tidak akan diadakan dalam waktu tedekat sebaliknya mahu menfokuskan kepada usaha menangani inflasi di negara ini.
“Kita sekarang sedang menghadapi peningkatan inflasi dengan harga barangan yang melambung tinggi,” katanya seperti dilaporkan Nikkei Asia.
#PRU15 #bubar parlimen #Abang Johari #ismail sabri yaakob