Sarawak teroka potensi tenaga hibrid solar dan angin

Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 30, 2023 23:15 MYT
Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa berucap pada Majlis Anugerah Vendor Sarawak Energy (SEVA) 2023 Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). - Astro AWANI
KUCHING: Sarawak kini dalam proses meneroka potensi sumber tenaga hijau boleh diperbaharui hibrid membabitkan kombinasi solar dan angin.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis negeri itu akan mempunyai beberapa sumber tenaga dalam tempoh 10 tahun selain air (hidroelektrik), bahan bakar bio, gas, solar dan hidrogen.
Bagaimanapun katanya, ia masih di peringkat kajian berdasarkan Projek Pembangunan Lapangan Timi yang dilaksanakan oleh syarikat minyak dan gas, Shell di perairan pesisir Sarawak.
“SEB sedang meneroka potensi penghasilan tenaga melalui turbin gas, Sarawak mempunyai hak dalam pengagihan gas maka kita boleh mempercepatkan perancangan untuk menghasilkan tenaga alternatif berasaskan gas ini.
“Saya sekarang mengumpulkan maklumat melalui Projek Pembangunan Lapangan Timi oleh syarikat Shell yang menggunakan sistem tenaga boleh diperbaharui hibrid solar dan angin, teknologi ini boleh dipertingkatkan, ini akan berlaku dalam tempoh sepuluh tahun mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Anugerah Vendor Sarawak Energy (SEVA) 2023 Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Selasa.
Lapangan Timi merupakan platform ‘wellhead’ pertama Shell di Malaysia menggunakan sistem tenaga hibrid solar dan angin, terletak di kawasan pesisir pantai Bintulu yang dijangka akan menyalurkan gas pertamanya sebelum penghujung tahun 2023.
Terdahulu, Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar itu turut memberi bayangan bahawa negeri dengan keluasan lebih 12.4 juta hektar itu akan mempunyai satu sumber pendapatan baharu menerusi tenaga hijau.
Dalam masa yang sama, Sarawak melalui SEB komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus gabungan kapasiti penjanaan tenaganya daripada sumber boleh diperbaharui menjelang tahun 2030.
#tenaga hijau #Abang Johari Tun Openg #tenaga hibrid #solar dan angin