KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak akan menukar gelaran Yang Dipertua Negeri kepada Yang di-Pertua Negara, tegas Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah menyentuh isu tersebut.

"Gelaran Yang di-Pertua Negara tidak pernah dan tidak sesuai diguna pakai di Sarawak. Ia hanya digunakan sekali sahaja di Sabah. Justeru ia tidak sesuai untuk dibincangkan.

"Ketika ini kata Abdul Karim, fokus Sarawak adalah untuk menukar gelaran Ketua Menteri kepada Premier sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Perbadanan Sukan Sarawak dan Kuching City FC di UCSI Hotel pada Jumaat.

Ujarnya, tidak wajar dan sesuai untuk membezakan negeri-negeri yang lain dengan gelaran Yang di-Pertua Negara memandangkan ada negeri yang menggunakan istilah lain seperti Yang Di-Pertuan Besar untuk Negeri Sembilan dan Sultan untuk negeri-negeri Beraja.

Tambah Karim, berbanding Yang di-Pertua Negara, istilah 'Gabenor' lebih sesuai sekiranya gelaran itu ditukar.

Terdahulu, dalam satu kenyataan pada Khamis, Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Lina Soo mencadangkan agar gelaran Yang di-Pertua Negeri ditukar menjadi Yang di-Pertua Negara.