MALAYSIA

Sarawak tubuh jawatankuasa tangani isu banjir

Bernama 14/01/2026 | 15:30 MYT
Abang Johari berkata ada pihak mencadangkan penggalian sungai untuk tujuan berkenaan namun pada pendapat beliau masalah pemendapan akan terus berlaku walaupun langkah itu diambil. - Gambar fail/Bernama
BINTULU: Sarawak akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertanggungjawab merangka perancangan serta penyelesaian terbaik secara menyeluruh dan jangka panjang bagi menangani masalah banjir, termasuk aspek kejuruteraan, sistem perparitan dan pengurusan sungai di negeri berkenaan.


Ringkasan AI
  • Sarawak akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk merangka penyelesaian banjir jangka panjang, termasuk bidang kejuruteraan dan pengurusan sungai.
  • Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyatakan rancangan ini selepas melawat pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Dewan Suarah Bintulu.
  • Langkah penyelesaian banjir melibatkan pihak pemaju, dan kerja pembaikan jalan terjejas akan ditangguhkan sehingga musim monsun berakhir.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan perkara itu selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Suarah Bintulu yang menempatkan mangsa banjir dari kawasan Ulu Sebauh hari ini.

"Saya akan menubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri untuk kami membuat perancangan, melaksanakan penyelesaian terbaik bagi masalah banjir," katanya.

Beliau berkata ada pihak mencadangkan penggalian sungai untuk tujuan berkenaan namun pada pendapat beliau masalah pemendapan akan terus berlaku walaupun langkah itu diambil.

"Jadi kami cari cara alternatif lain. Kami bincang dulu, kami tidak mahu membuat pengumuman tergesa-gesa. Jawatankuasa ini akan meneliti semua pilihan dan merancang penyelesaian mampan," katanya.

Abang Johari berkata langkah penyelesaian masalah banjir itu juga nanti turut melibatkan pihak pemaju.

Beliau ketika mengulas mengenai kerosakan infrastruktur akibat banjir kali ini berkata kerja pembaikan jalan raya terjejas tidak akan dilaksanakan segera memandangkan risiko gelombang banjir susulan dalam tempoh musim monsun.

"Kami akan bina semula selepas musim monsun berakhir bagi mengelakkan pembaikan berulang kali," katanya.

Sementara itu, Abang Johari turut memuji keberkesanan pengurusan bantuan banjir di kawasan Sebauh apabila penyampaian bantuan kepada mangsa banjir berjalan lancar dan memuaskan, termasuk dari segi penempatan, kebajikan serta sokongan kesihatan disediakan agensi berkaitan.

"Di Sebauh, saya berpeluang bercakap dengan mangsa dan mereka berpuas hati dengan bantuan serta penempatan disediakan. Isu kesihatan turut ditangani dengan baik oleh pasukan perubatan, termasuk kes memerlukan rujukan ke hospital," katanya.

-- BERNAMA


#mangsa banjir #mati lemas #PPS #pasukan perubatan