KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersetuju menubuhkan Pasukan Operasi Khas di Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) bagi memantau dan menyelaras secara berterusan kesan penurunan paras air di seluruh Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jawatankuasa berkenaan dan agensi berkaitan turut meneliti kemungkinan melaksanakan pembenihan awan antara 3 hingga 5 Sept ini sebagai langkah praoaktif menghadapi tempoh cuaca panas dan kering berpanjangan.
"Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan pihaknya sedang menilai keadaan yang bersesuaian untuk melaksanakan operasi pembenihan awan. Mesyuarat susulan pada 1 Sept ini akan menentukan sama ada keadaan sesuai untuk operasi terbabit.
“Berdasarkan laporan Sarawak Energy Berhad (SEB), operasi pembenihan awan yang dilaksanakan pada 11 hingga 12 Mei dan 19 hingga 21 Jun lepas memberi kesan positif terhadap paras air empangan,” katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas penyelarasan secara maya hari ini.
Mesyuarat itu melibatkan wakil daripada MetMalaysia, SEB, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta semua pejabat residen.
Uggah berkata langkah berkenaan susulan ramalan bahawa fenomena El Nino ketika ini dijangka menjadi lebih ketara di Sarawak dari Oktober hingga Disember dan berkemungkinan sehingga sekurang-kurangnya April tahun depan.
“Ramalan terkini El Nino-Southern Oscillation (ENSO) menunjukkan fenomena El Nino kini berada pada tahap sederhana, namun berpotensi tinggi untuk mencapai kemuncaknya atau “Super” El Nino antara September 2026 hingga Januari 2027.
“El Nino merupakan fenomena iklim global dan kesannya boleh dirasai di pelbagai wilayah. Meskipun tahap dan tempoh kesannya tidak dapat dipastikan dengan tepat, Sarawak mengambil langkah awal bagi mengurangkan impak yang mungkin timbul, terutama keadaan cuaca kering berpanjangan dan penurunan paras air,” katanya.
Mengenai persediaan menghadapi isu bekalan air, Uggah berkata JKM dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) telah menyalurkan dan akan terus menyediakan bantuan bekalan air kepada komuniti yang terjejas sekiranya diperlukan.
“Pejabat Residen dan semua agensi turut diminta menyemak semula tahap kesiapsiagaan masing-masing, termasuk dari segi bekalan air, logistik dan sumber bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera sekiranya situasi bertambah buruk,” katanya.
Uggah berkata kawasan barat daya negeri itu dijangka menerima taburan hujan di bawah purata sehingga Disember, susulan keadaan Monsun Barat Daya yang sedang berlangsung dan dijangka berterusan hingga September.
-- BERNAMA