MALAYSIA

Sarawak-Pulau Pinang disaran perkukuh kerjasama semikonduktor nasional

Astro Awani 15/09/2025 | 02:45 MYT
Jeyaseelan berkata penyelarasan piawaian dalam reka bentuk, ujian dan kawalan kualiti akan mempercepatkan kelulusan produk serta menjadikan Malaysia sebagai pangkalan teknologi yang lebih dipercayai. - Foto Tessolve Semiconductor
KUALA LUMPUR : Kerjasama strategik antara Sarawak dan Pulau Pinang dalam membangunkan ekosistem semikonduktor negara perlu digerakkan sebagai platform nasional bagi memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.


Ringkasan AI
  • Sarawak dan Pulau Pinang disaran bekerjasama secara strategik dalam membangunkan ekosistem semikonduktor nasional untuk meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.
  • Cadangan skim pertukaran jurutera muda dan penyelarasan piawaian bertujuan mempercepatkan kelulusan produk, menyatukan kaedah kerja dan melahirkan tenaga mahir berdaya saing.
  • Pendekatan praktikal dan tadbir urus bersama digalakkan, termasuk penubuhan pasukan kerja, pemantauan berkala serta pendedahan KPI secara terbuka bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan.


Pakar kejuruteraan semikonduktor, Jeyaseelan Vengatraman, berkata penyelarasan piawaian dalam reka bentuk, ujian dan kawalan kualiti akan mempercepatkan kelulusan produk serta menjadikan Malaysia sebagai pangkalan teknologi yang lebih dipercayai.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pelaksanaan skim pertukaran jurutera muda antara kedua-dua negeri bagi memberi pendedahan dalam bidang ujian, kejuruteraan produk dan kebolehpercayaan.

Langkah ini juga bertujuan menyatukan kaedah dan bahasa kerja pasukan secara lebih konsisten.

“Kerjasama ini diyakini mampu memperkukuh ekosistem semikonduktor Malaysia, bukan sahaja dari segi teknologi dan infrastruktur, malah turut melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri global.

“Pulau Pinang telah terbukti sebagai peneraju dalam sektor semikonduktor dan pembuatan berteknologi tinggi, manakala Sarawak memiliki kekuatan dalam tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan komitmen terhadap pembangunan mapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bagi tahun pertama, beliau menyarankan pendekatan praktikal seperti penubuhan pasukan kerja bersama, penyelarasan pelan penggunaan peralatan dan pewujudan unit sampel seragam di kedua-dua negeri.

Pemantauan berkala juga perlu dilaksanakan bagi memastikan produk baharu dapat beralih daripada fasa makmal ke pengeluaran berskala besar tanpa kelewatan.

Jeyaseelan, yang juga Naib Presiden (APAC) Tessolve Semiconductor Sdn Bhd, turut menekankan kepentingan tadbir urus melalui penerbitan panduan bersama melibatkan kelulusan pembekal, pengesahan perubahan dan kaedah penyiasatan masalah.

“Penunjuk prestasi utama (KPI) seperti penghantaran tepat pada masa, kadar kejayaan pengeluaran pertama dan kesiapsiagaan audit pelanggan juga wajar didedahkan secara terbuka,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa bakat tempatan perlu menjadi teras utama dalam menjayakan pelan kerjasama ini.

Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dalam Forum Pelaburan Semikonduktor Sarawak, menyatakan komitmen negeri itu untuk bekerjasama dengan Pulau Pinang dalam berkongsi kepakaran dan kekuatan, khususnya dalam industri semikonduktor.

Menurut beliau, Pulau Pinang merupakan peneraju dalam pembuatan berteknologi tinggi, manakala Sarawak menawarkan kelebihan dari segi tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan pembangunan lestari yang saling melengkapi.





#semikonduktor #pelaburan #Tenaga Boleh Diperbaharui #Sarawak