Saringan COVID-19 di KLIA sesak: KKM tambah petugas, peralatan

Bernama
September 28, 2020 04:10 MYT
DR ADHAM: "Masalah kesesakan akan diselesaikan segera dengan penambahan peralatan dan petugas." - Foto Twitter Dr Adham Baba
SEPANG: Jumlah petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan peralatan saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 akan ditambah bagi mengurangkan kesesakan proses saringan terhadap individu yang tiba dari Sabah.
KKM menerusi Twitter memaklumkan susulan terdapat aduan kesesakan proses saringan COVID-19, Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menambah bilangan petugas dan peralatan bagi melancarkan proses saringan.
“Masalah kesesakan akan diselesaikan segera dengan penambahan peralatan dan petugas,” katanya.
Terdahulu, Dr Adham bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meninjau proses saringan COVID-19 yang dilakukan kakitangan KKM di KLIA dan klia2, awal pagi tadi.
Sementara itu, Malaysia Airports menerusi ciapan di Twitter, merakamkan penghargaan kepada Dr Adham dan Dr Noor Hisham terhadap dedikasi dan komitmen mereka bagi memastikan semua langkah keselamatan dan prosedur ujian berjalan lancar.
Pada Sabtu, Dr Noor Hisham berkata bermula semalam hingga 10 Okt, individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan COVID-19 serta diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).
BACA: COVID-19: "Kami terpaksa tunggu tiga jam di KLIA" - Luahan penumpang dari Sabah
BACA: KKM tambah kakitangan uruskan saringan pengembara Sabah di KLIA - Noor Hisham
-- BERNAMA
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #koronavirus #Malaysia #keselamatan #kesihatan #Kuala Lumpur #KKM #KLIA #KLIA2 #KLIA sesak #Berita AWANI #Astro Awani #berita Malaysia #Dr Adham Baba