KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan situasi pengembara dari Sabah yang terkandas berjam-jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan (klia2) hari ini.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahkan perkara tersebut berkata, pihaknya telah menambah anggota bagi memastikan proses saringan COVID-19 berjalan dengan lancar.

"KKM sedang memantau pelaksanaan saringan di lapangan.

"KKM turut dimaklumkan, di klia2 penerbangan terus dari Sabah lebih daripada jangkaan pada hari ini.

"Bagaimanapun, KKM telah menambah kakitangan untuk membantu team di klia2 dan kakitangan tambahan seramai 80 orang telah dimobilisasikan pagi tadi apabila berlaku kejadian," katanya kepada Astro AWANI.

Astro AWANI menerima laporan daripada pembaca memaklumkan bahawa pengembara dari Sabah terpaksa menunggu lama bagi menjalani saringan COVID-19.

Ia selepas KKM mewajibkan semua pengembara dari Sabah menjalani saringan COVID-19 bermula hari ini.