Seorang sarjan polis dihukum penjara 20 bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM200 pada 2015.

Hakim Zanol Rashid Hussain menjatuhkan hukuman itu kepada Azahar Abdul Aziz, 53, yang bertugas sebagai Sarjan Detektif di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan Azahar menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini, namun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu proses rayuan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah bersetuju untuk menerima RM200 daripada Sulaiman Sahbudin sebagai upah membantu mengurangkan hukuman ke atas Sulaiman dan hanya dihukum pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, melalui satu panggilan telefon pada 5 petang, 13 Jan 2015 di Pejabat AADK Cawangan Kulim.

Untuk pertuduhan kedua, Azahar dituduh secara rasuah bersetuju menerima RM200 daripada Sulaiman iaitu sebagai upah bagi membantu mengurangkan hukuman ke atas Sulaiman pada 6.50 petang, tarikh yang sama di sebuah restoran nasi kandar di Kulim.

Dia didakwa menurut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A. Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun.

-- BERNAMA