KOTA BHARU: Seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota polis dikenali 'Sarjan Rizal' dijatuhkan hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret pada Khamis.

Ahmad Reizal Hakimi Mohd Daud, 30-an, yang merupakan seorang penganggur dituduh dengan dua pertuduhan bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu dengan jalan samaran.

Suspek mengaku bersalah dan didenda RM6,000, namun gagal membayarnya dan perlu menjalani hukuman penjara.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pada Ahad 'Sarjan Rizal' telah berjaya ditahan di Jitra, Kedah hasil risikan dan maklumat Bahagian Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

"Suspek dikehendaki polis berhubung kes penipuan secara bersemuka dengan cara menyamar sebagai anggota polis.

"Kejadian kes penipuan ini berlaku di dua tempat berasingan iaitu di kedai pakaian Jalan Bayam dan kedai runcit Jalan Long Yunus Wakaf Mek Zainab," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah memperdaya mangsa dengan cara memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Rizal' iaitu anggota polis yang baru berpindah ke negeri ini dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Ujarnya, suspek hadir ke kedai mangsa secara berseorangan berpakaian ves polis membuat pembelian barangan tetapi tidak membuat bayaran dengan alasan tertinggal dompet.

Tambah beliau, mangsa terdiri daripada dua orang tempatan, peniaga kedai yang masing-masing mengalami kerugian berjumlah RM69 dan RM130.

Mohd Suhaimi memberitahu, dua kertas siasatan telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil dan siasatan dijalankan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan tipu dengan menyamar sebagai polis.

Media pada 5 Disember melaporkan seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota polis dikenali 'Sarjan Rizal' bertindak mengambil dua jersi dan satu seluar di sebuah kedai pakaian sukan di Jalan Bayam, Dusun Muda di sini pada Sabtu tanpa membuat bayaran.

Kejadian pada jam 8.30 malam itu berlaku ketika pemilik kedai, Aznee Alaman, 58, berada di premis berkenaan dan didatangi suspek lengkap berpakaian ves bertulis polis. - Sinar Harian