IPOH: Perak dijangka mempunyai 80 peratus liputan rangkaian 5G yang stabil menjelang tahun 2024, dengan fokus kini berpusat di bandar raya Ipoh sebagai lokasi pertama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya menyasarkan teknologi sambungan tanpa wayar generasi kelima itu akan diperluas secara berperingkat ke daerah lain di negeri ini.

Katanya lagi, sebagai langkah permulaan ia direalisasikan menerusi memorandum persefahaman (MoU) di antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan YTL Communications Sdn. Bhd.

Saarani berkata, dengan termeterainya MoU berkenaan, maka Ipoh menjadi antara bandar raya yang mempunyai liputan 5G terluas di Malaysia.

"Di Ipoh ini (5G) adalah permulaan tapi sudah tentu kita akan perkasakannya untuk ke seluruh negeri, terutama bagi kawasan pertumbuhan industri baharu.

"Contohnya ia akan diperluas di Manjung, Taiping dan Kuala Kangsar selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan MoU di antara MBI dan YTL Communications Sdn. Bhd. di sini pada Khamis.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif  YTL Communications Sdn. Bhd., Wing K Lee.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Yahanis Yahya dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan dan Komersial Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Roslina Idris.

Sementara itu, Rumaizi berkata sehingga kini terdapat 37 tapak rangkaian 5G dipasang di bandar raya ini, selain menjangkakan 106 lagi tapak akan dibina sehingga penghujung tahun ini.

"Pencapaian ini adalah hasil Jawatankuasa Taskforce 5G Greater Ipoh, diharapkan MoU kerjasama ini dan dibantu oleh Digital Nasional Berhad (DNB) bakal percepatkan liputan 5G di sini.

"Setakat ini bandar raya Ipoh mempunyai rangkaian liputan cukup stabil, kita telah capai purata kelajuan 5G nasional iaitu 620 megabait per saat.

"Kadang kala capaian rangkaian 5G di sekitar pusat bandar Ipoh melebihi 1 gigabait per saat, Ipoh juga merupakan antara bandar raya yang mempunyai rangkaian liputan 5G terluas di Malaysia," kata Rumaizi.

Terdahulu dalam majlis itu, turut berlangsung MoU di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta MoU bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

MoU di antara MBI dan MTIB merupakan kesinambungan daripada aktiviti serta program Jabatan Taman dan Landskap yang menggunakan bahan buluh sebagai bahan alternatif dalam pembinaan komponen landskap seperti pondok rehat dan pergola buluh.

Manakala MoU di antara MBI dan PPPNP pula membabitkan usahasama bagi pembangunan di kawasan Gunung Masoorat, yang meliputi pembangunan pertanian di sekitarnya.

Ia merupakan salah satu langkah bagi menjamin 'food security' dengan menggalakkan pertanian di tanah terbiar.