KUALA LIPIS: Kerajaan Pahang menyasarkan Lipis yang dimasyhurkan sebagai Geopark Kebangsaan hari ini mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark (UGGp) menjelang 2026.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-11 negara itu berkuat kuasa pada 9 Nov lepas, iaitu setahun selepas kerajaan Pahang memulakan usaha untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.

Pengiktirafan itu menjadikan Lipis Geopark yang berkeluasan 5,408 kilometer persegi iaitu meliputi keseluruhan daerah Lipis, sebagai Geopark Kebangsaan termuda dan terbesar di Malaysia buat masa ini.

"Pelaksanaan Lipis Geopark adalah selari dengan draf perancangan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia 2024-2028, untuk menjadikan Pahang destinasi bertaraf dunia bagi pengiktirafan tapak berjenama UNESCO di bawah kategori Tapak Warisan Dunia (WHS), program Manusia dan Biosfera (MAB) dan UGGp," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemasyhuran Lipis sebagai Geopark Kebangsaan di Taman Negara Sungai Relau di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan pemasyhuran itu.

Selain itu, Wan Rosdy berkata antara kawasan yang diangkat sebagai tapak Geopark Kebangsaan itu ialah Galeri Aspirasi Lipis Geopark, Geotapak Bernilai Kebangsaan dan Geotapak Bernilai Geopelancongan, dengan setiap satunya mempunyai sejarah yang boleh diceritakan kepada pelancong.

"Saya diberitahu terdapat bukti perlanggaran dua benua kecil iaitu Malaya Barat dan Malaya Timur di daerah ini lebih kurang 200 juta tahun lepas yang membentuk Semenanjung Malaysia seperti hari ini.

"Satu lagi bukti sejarah geologi lampau ialah pada beberapa bukit batu kapur, seperti Gua Bama dan Gua Panjang yang terdapat sempadan batuan berusia 250 juta tahun dan berlaku 'kepupusan besar-besaran' hingga lebih 95 peratus hidupan di atas muka bumi ini," katanya.

Wan Rosdy turut menjelaskan bahawa pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan tidak bermaksud tiada sebarang pembangunan boleh dilaksanakan, sebaliknya ia boleh diteruskan dengan memberi tumpuan kepada pendekatan pembangunan secara lestari.

Sementara itu, Huang dalam ucapannya berkata pengiktirafan Lipis itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dengan Jawatankuasa Pelaksana Geopark telah membuat lawatan penilaian pada 24 hingga 28 Sept 2023.

Lipis Geopark yang terletak di kaki Timur Banjaran Titiwangsa mempunyai kepelbagaiangeologi yang tinggi, fosil pelbagai spesies dalam kawasan perlindungan di Taman Negara dan Hutan Simpan Kekal.

"Selain itu, kawasan Lipis kaya dengan kepelbagaian geologi iaitu 28 geotapak dan biologi (6 biotapak), serta budaya tempatan (9 tapak budaya). Taman Negara Sungai Relau di Merapoh merupakan antara pusat kepelbagaian biologi yang merekodkan 194 spesies flora termasuk spesies endemik. Ia membentuk litupan unik seperti hutan bonsai di puncak Gunung Tahan," katanya.

-- BERNAMA