Skip to main content

Malaysia

Satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita - Rafizi

61755861184_sidangmediarafizi.jpg
RAFIZI: Saya dituduh menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat yang kononnya berkait dengan saya. Ini jadi satu lagi bahan fitnah yang dijaja oleh Caprice dan diulang oleh ceplos-ceplos, konon Rafizi terbabit kes rasuah RM2.5 billion. -Gambar fail

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan terbabit dalam salah laku berjumlah RM3.6 bilion yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman medianya, beliau berkata, siasatan itu melibatkan dua isu berasingan yang dikaitkan dengannya tetapi tiada bukti fizikal atau transaksi wang yang menunjukkan penglibatannya.

Advertisement

“Tidak ada rampasan ratusan juta atau jongkong emas. Tidak ada bukti ratusan juta dalam akaun saya, malah, satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita,” katanya.

Ujar Ahli Parlimen Pandan itu, SPRM telah buka kertas siasatan kononnya untuk menyiasat adakah perjanjian kerajaan dengan syarikat cip semikonduktor antarabangsa, ARM dilakukan secara tergesa-gesa dan telah merugikan negara.

"Ini yang jadi bahan berita konon bekas menteri kanan disiasat berhubung dakwaan salah laku RM1.1 billion," jelas Rafizi.

Menyentuh mengenai isu kedua yang disiasat membabitkan membabitkan projek solar terbesar 750 megawatt (MW) oleh UEM Lestra, beliau menegaskan projek itu adalah swasta dan tidak berada di bawah kementeriannya.

“Saya dituduh menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat yang kononnya berkait dengan saya. Ini jadi satu lagi bahan fitnah yang dijaja oleh Caprice dan diulang oleh ceplos-ceplos, konon Rafizi terbabit kes rasuah RM2.5 billion," katanya.

Beliau menegaskan kedua-dua isu itu muncul secara tiba-tiba dalam tempoh kurang seminggu.

"Ini masalahnya apabila ada pihak yang terdesak menggunakan fitnah," jelas bekas Timbalan Presiden PKR itu.

Rafizi menyifatkan, tuduhan berkenaan sebagai satu bentuk “fitnah overkill” kerana jumlah RM3.6 bilion yang dikaitkan dengannya lebih besar daripada jumlah RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan bekas Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1MDB.

“Najib disabitkan bersalah bila ada RM2.3 bilion masuk akaun peribadi dari dana 1MDB. Saya kini dituduh terbabit kononnya dalam dua skandal kewangan yang jumlahnya RM3.6 bilion – fuyooooo lagi banyak dari Najib!” katanya.

Rafizi baru- baru ini telah memperincikan bahawa pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra dalam projek NETR adalah inisiatif pihak swasta sepenuhnya dan tidak membabitkan dana awam atau perolehan kerajaan.

Beliau dilaporkan turut menafikan dakwaan pembabitan kepentingan peribadi dalam projek tersebut dan menyifatkan serangan pempengaruh media sosial sebagai fitnah terancang.

Dalam pada itu, Rafizi turut menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa membenarkan fitnah serupa dijaja oleh penyokong-penyokongnya sendiri.

"Kami yang GenX ke atas ni dah melalui semua ini zaman reformasi dahulu. Fitnah yang menjadi 'overkill'. Tilam diusung untuk tunjuk air mani. Semua cerita lucah jadi bahan laporan setiap hari.

"Kami yang rakyat biasa turun membela Anwar yang jadi mangsa fitnah kerana sepak terajang kuasa.

"Malangnya, Anwar kini membenarkan fitnah yang overkill dijaja oleh penyokong-penyokongnya setiap hari kerana kali ini ia digunakan terhadap seorang yang dia sendiri mengaku dia menyampah. 

"Benarlah manusia ini mudah lupa," katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video