MALAYSIA

'Satu daerah, satu tabika khusus autisme menjelang 2027' - Ahmad Zahid

Faida Rahim 02/09/2025 | 03:20 MYT
Ahmad Zahid berkata sasaran awal adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu tabika autisme di setiap negeri sebelum diperluaskan ke peringkat daerah. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan untuk membangunkan sebuah tabika khas bagi kanak-kanak autisme di setiap daerah menjelang tahun 2027.


Ringkasan AI
  • KKDW menyasarkan pembinaan tabika khas autisme di setiap daerah menjelang 2027, bermula dengan tiga tabika di Melaka tahun ini.
  • Program Tabika KEMAS Pra Tahfiz kini melibatkan lebih 125,000 murid dan dijangka meningkat kepada 140,000 tahun hadapan.
  • TVET dan MRSM Ulul Al-Bab akan terus diperkasa dengan keseimbangan antara akademik, profesional dan pengajian Al-Quran.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata sasaran awal adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu tabika autisme di setiap negeri sebelum diperluaskan ke peringkat daerah.

“Kita akan bina tadika khas untuk anak-anak autisme. Tahun ini, kita telah mulakan dengan tiga tabika di Melaka. Tahun depan, kita akan laksanakan konsep satu negeri, satu tabika.

“Menjelang 2027, kita akan pastikan setiap daerah mempunyai sebuah tabika autisme, insya-Allah,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya, pada Selasa.

Menurut beliau, inisiatif ini merupakan antara fokus utama KKDW yang akan dibincangkan dalam sesi libat urus Belanjawan 2026 pada Khamis ini.

Dalam perkembangan berkaitan, KKDW turut merancang untuk memperluaskan peranan Tabika KEMAS Pra Tahfiz.

“Kini terdapat 10,883 tabika yang telah memulakan pengajian Juzuk 30 untuk kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun.

“Seramai 125,000 murid telah menyertai program ini dan insya-Allah, kita sasarkan peningkatan kepada 140,000 murid pada tahun hadapan.

“Kita juga akan menghantar guru-guru KEMAS untuk mendalami pedagogi serta kaedah pengajaran konvensional, selain melaksanakan beberapa transformasi,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, sektor Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diperkasakan, khususnya di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan agensi Lembaga Kemajuan Wilayah KKDW.

“MRSM Ulul Al-Bab yang kini berjumlah 57 buah akan terus diberi penekanan. Namun, kita akan seimbangkan kursus akademik dan profesional dengan pengajian Al-Quran bagi melahirkan pelajar yang seimbang,” katanya mengakhiri kenyataan.





#Ahmad Zahid Hamidi #MARA #TVET #Tabika Autisme