Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas di Kilometer 349.4 arah utara Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini, kira-kira jam 8.30 pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail berkata pemandu Proton Wira, Muhammad Azry Izwan Rohaizad, 22, meninggal dunia di tempat kejadian setelah parah apabila kenderaan dipandu tertusuk besi penghadang jalan.

Dua penumpang yang cedera ialah tunang mangsa Nur Fatin Syuhadah Mohamad Zubir, 22, dan seorang kanak-kanak lelaki yang belum dikenali identiti.

BACA: Diseret dari Ipoh hingga Kuala Kangsar


Muhammad Azry Izwan meninggal dunia akibat parah setelah kenderaan dipandu tertusuk besi penghadang jalan.

Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan dan melanggar penghadang besi kiri jalan,” katanya di sini, pada Ahad.

Dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Mereka kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk prosedur imbasan bahagian kepala, namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.