[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Sawit kekal tunjang ekonomi Sarawak, tetapi ditekan syarat baharu EU

Astro Awani 18/09/2025 | 09:20 MYT
Industri sawit menyumbang RM14.3 bilion atau 10.9% daripada eksport Sarawak 2023, hampir setanding dengan pendapatan petroleum. -Gambar fail/Bernama
KUCHING : Industri sawit kekal sebagai tunjang ekonomi Sarawak dengan sumbangan sebanyak RM14.3 bilion atau 10.9 peratus daripada jumlah eksport negeri pada tahun 2023. Jumlah ini hampir menyamai pendapatan petroleum.


Ringkasan AI
  • Industri sawit menyumbang RM14.3 bilion atau 10.9% daripada eksport Sarawak 2023, hampir setanding dengan pendapatan petroleum.
  • Cabaran utama termasuk tekanan peraturan antarabangsa seperti larangan EU terhadap pembukaan kawasan baharu untuk tanaman sawit, getah, kopi dan koko.
  • Sarawak komited mematuhi pensijilan MSPO dan RSPO serta memperkukuh pembangunan tanah NCR sebagai tanah pertanian, bukan hutan primer.


Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datu Sirai Daha, berkata walaupun angka tersebut memberangsangkan, industri sawit masih berdepan pelbagai cabaran.

Menurutnya, antara cabaran terbesar ialah tekanan baharu daripada peraturan antarabangsa, khususnya yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Kerajaan Sarawak, jelas beliau, telah berusaha meyakinkan EU bahawa Hak Tanah Adat Orang Asal atau (Native Customary Rights) NCR bukan hutan primer, sebaliknya tanah pertanian yang sedia untuk dibangunkan.

Namun, EU kini tidak lagi menumpukan syarat ketat kepada sawit semata-mata, sebaliknya turut melibatkan tanaman lain seperti getah, kopi dan koko, dengan larangan membuka kawasan baharu untuk penanaman.

“Kami terpaksa berulang kali menjelaskan bahawa tanah NCR bukan hutan primer dan bukan aktiviti pembalakan, sebaliknya usaha memperkukuh pembangunan tanah pertanian sedia ada serta memenuhi pelbagai tuntutan lain mereka," katanya.

Datu Sirai berkata demikian ketika mewakili Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, pada majlis libat urus Persatuan Pemilik-Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) di Kuching, pada Khamis.

Beliau menambah, antara tuntutan baharu yang dikemukakan ialah supaya kilang sawit hanya boleh beroperasi dengan permit yang sah.

“Ini bermakna untuk menubuhkan sebuah kilang sawit, permit yang sah mesti diperoleh terlebih dahulu,” ujarnya.

Selain itu, pemain industri kini dituntut untuk memastikan produk sawit bebas daripada aktiviti pembalakan serta mematuhi pensijilan MSPO dan RSPO bagi mengekalkan daya saing di pasaran global.

“Untuk mengekalkan akses ke pasaran utama, Sarawak Palm Oil Reserve mesti mematuhi standard pensijilan yang diiktiraf sepenuhnya.

“Bagi pihak kami, terdapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang merupakan standard nasional wajib, manakala Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) pula menjadi penanda aras yang diiktiraf di peringkat global,” katanya lagi.





#industri sawit #kelapa sawit #Sarawak #EU