'Saya balik ni nak rehat la sikit' - Tun M

Diyana Ibrahim
Oktober 2, 2018 10:38 MYT
Dr Mahathir tiba bersama Dr Siti Hasmah sekitar jam 6.20 petang tadi. - Foto Astro AWANI
'Saya balik ni nak rehat sikit."
Itu mesej ringkas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan umum beliau sejurus selepas tiba dari Britain di Pangkalan Udara Subang (TUDM) di sini petang tadi.
Kepulangan Dr Mahathir dari lawatan kerja di Britain dan Amerika Syarikat minggu lalu untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 di New York pada 28 Sept lalu, disambut meriah lebih 200 penyokongnya.
Beliau bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba kira- kira jam 6.20 petang tadi.
Walaupun hujan lebat, penyokong yang berada di sini sejak 4 petang tadi tetap tidak berganjak menunggu ketibaan delegasi perdana menteri itu
Sebaik sahaja beliau turun dari pesawat Dr Mahathir disambut dengan laungan “hidup Tun” oleh penyokong-penyokongnya.
Turut menyambut ketibaan delegasi Perdana Menteri itu ialah Menteri Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan beberapa timbalan menteri lain.
Selain menghadiri Perhimpunan Agung PBB di Amerika Syarikat, Tun Mahathir juga turut berada di London untuk lawatan kerja siri kedua dimana semalam beliau telah muncul dalam satu program bual bicara Future of Democracy In Asia.
Untuk rekod, Dr Mahathir dan delegasi berada selama LIMA hari di New York dan empat hari di London.
Dr Mahathir mencuri tumpuan kerana kembali berucap di Pentas PBB selepas 15 tahun.
#Amerika Syarikat #Britain #Lapangan Terbang TUDM #Mahathir Mohamad #New York #Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #Siti Hasmah Mohd Ali