MALAYSIA
'Saya bebas kanser tahap akhir' - Jamal Yunos

Menurut Jamal, perjuangan melawan penyakit itu bukan mudah, namun kecekalan dan semangat tidak berputus asa menjadi kunci kekuatannya untuk terus bertahan. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengesahkan beliau kini bebas kanser tahap akhir selepas lima bulan bertarung nyawa melawan penyakit itu.
Jamal memaklumkan, penyakit kanser yang pada awalnya dikesan di paru-paru sebelum merebak ke otak dan seluruh badan kini sudah tidak lagi dikesan dalam tubuhnya selepas melalui rawatan intensif.
"Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan, sahabat handai dan seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan saya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Jamal, perjuangan melawan penyakit itu bukan mudah, namun kecekalan dan semangat tidak berputus asa menjadi kunci kekuatannya untuk terus bertahan.“Setelah bertarung selama empat ke lima bulan dengan kanser tahap akhir, akhirnya doktor pakar mengesahkan kanser telah hilang daripada badan saya.
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih rakan-rakan, sahabat handai dan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan saya," tambahnya.
Media pada 28 Mac lalu melaporkan, Jamal menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas mengadu sakit di bahagian leher dan kepala.
Hasil pemeriksaan doktor termasuk ujian pengimejan resonans magnet (MRI) menunjukkan sel kanser merebak ke bahagian otak dengan saiz ketumbuhan sekitar 3 sentimeter.
Jamal Pada September 2022 ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor pernah dikejarkan ke hospital selepas tiba-tiba jatuh sakit sebaik menghadiri program parti itu di Sungai Besar.
Difahamkan, sebelum ini beliau beberapa kali dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan bagi kanser paru-paru tahap empat. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami