SHAH ALAM: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk mendedahkan isu ketirisan dalam pentadbiran ahli politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Kedah itu berkata demikian ketika menjawab saman yang difailkan Pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad.

Menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan pada 29 September lalu, beliau berkata, selaku ahli politik pembangkang dan pemimpin masyarakat, beliau hanya menggunakan kebebasan bersuara untuk menimbulkan isu tatakelola dan ketirisan bersandarkan kepada fakta substatif yang benar.

Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, tiada langsung rujukan dibuat terhadap Vincent yang juga Penasihat Berjaya, sebagai seorang ahli perniagaan yang korup, secara langsung mahupun sindiran.

Bukan itu sahaja, pemimpin Pas berusia 49 tahun itu juga berkata, tiada tuduhan dilemparkan terhadap Berjaya selaku plaintif pertama dan Vincent (plaintif kedua), melakukan aktiviti haram, menyalahi undang-undang, menipu rakyat Selangor atau berkecenderungan melakukan amalan tidak jujur.

“Plaintif juga tidak mengalami sebarang kerugian kerana Projek SMG masih lagi diteruskan,” kata Pengarah Pilihan Raya Pakatan Nasional (PN) ini.

Pada 8 Ogos lalu, Vincent dan Berjaya memfailkan saman berhubung kenyataan Sanusi mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) dalam ucapannya ketika ceramah sempena kempen pilihan raya 'Jelajah Mega PN Best' atau 'PN Best Sayangi Kedah Sejahtera mega tour' di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah pada 2 Ogos.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Vincent mendakwa ucapan Sanusi yang disiarkan secara langsung dan diterbitkan semula, membuat rujukan yang spesifik dan langsung kepadanya dengan menyebut namanya sepanjang ucapan di ceramah itu.

Berjaya pula berkata, meski tiada rujukan spesifik dibuat terhadap syarikat itu, kenyataan berkenaan boleh difahami sebagai merujuk kepada syarikat berkenaan.

Menurut Vincent, kenyataan berbaur fitnah itu antara lain membawa maksud beliau dan syarikat terbabit adalah korup dan kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Plaintif berkata, ia juga bermaksud mereka memberikan manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri sebagai balasan kepada tanah percuma itu.

Selain itu, plaintif mendakwa, kenyataan tersebut bermaksud mereka menyebabkan Kerajaan Selangor mengalami kerugian dan membelanjakan sekurang-kurangnya RM180 juta susulan tanah yang didakwa diberikan secara percuma.

Plaintif berkata, ia juga bermaksud mereka dengan syarikat berkaitan mempunyai jumlah hasil pendapatan gabungan sebanyak RM33.3 bilion.

Vincent dan Berjaya berkata, kenyataan fitnah itu akan merosakkan dan menyebabkan kerugian kewangan terhadap 67,367 pemegang saham dalam BCorp dan 7,053 pemegang saham dalam Syarikat terbabit.

Menurut mereka, ia mampu merosakkan reputasi dalam dunia perniagaan sama ada dalam atau luar negara serta berpotensi menyebabkan kehilangan keuntungan jutaan ringgit.

Untuk rekod, Sanusi kini berdepan beberapa kes di mahkamah dan juga tuntutan saman.

Pada 17 Julai lalu, beliau didakwa di dua Mahkamah Sesyen Selayang, atas dua tuduhan menghasut dengan mengaitkan pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah.

Selain itu, Sanusi juga berdepan tindakan undang-undang daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkaitan ucapan fitnah pada Majlis Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra di Kedah.

Sanusi mendakwa Amirudin turut terlibat dalam skandal dengan pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dalam projek pembersihan Sungai Klang. - Sinar Harian