KLANG: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad secara berseloroh berkata, beliau bukan mufti untuk mengharamkan rokok di negara ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan, golongan perokok tidak perlu cemas dengannya.

"Saya hanya menguruskan supaya rokok dan asap (rokok) tidak terkena kepada kumpulan sasaran yang tidak merokok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi jawatankuasa yang dipimpinnya pada Konvensyen Nasional Amanah 2023 yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu memberi respons sedemikian bagi menjawab isu dibangkitkan perwakilan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Dewan Rakyat bulan lalu meluluskan pengguguran peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok dalam RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Berdasarkan RUU sebelum ini, yang lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) dan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 12 Jun lalu, terdapat empat peruntukan berkaitan larangan itu yang dikenakan terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Ia merangkumi Perkara 13, 14, 18 dan 19, iaitu larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Di bawah RUU baharu yang dibentangkan hari ini, di bawah Perkara 17 (1) larangan merokok dan menggunakan produk tembakau dikenakan kepada bagi orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian