KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini berkata beliau mendapat panggilan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempengerusikan MKN Negeri Selangor ekoran bencana banjir di negeri berkenaan.

"Pagi tadi (Selasa), Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) telah mempengerusikan satu mesyuarat MKN Khas. Ini bermakna, MKN akan menguruskan bencana ini.

"Saya juga telah dihubungi oleh pihak MKN untuk mempengerusikan MKN bagi pihak negeri Selangor.

"Insya-Allah, saya akan memangil semua pihak termasuk pihak pembangkang untuk kita selaraskan (urus tadbir banjir) khususnya proses pemulihan selepas ini," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menjelang November lalu, beliau telah dimaklumkan bahawa MKN (Selangor) adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dipengerusikan oleh Menteri Persekutuan.


Untuk rekod, MKN Selangor dipengerusikan Tan Sri Noh Omar selepas lantikan dibuat pada November lalu.

"Jadi saya tak boleh nak panggil polis atau tentera sebagai (Pengerusi) MKN pada tarikh tersebut (18 Disember). Jika saya ada peluang, mungkin pada 18 Disember itu saya telah menghubungi MKN.

"Saya bukan nak salahkan sesiapa, tetapi saya nak bagi tahu kronologi - masa untuk kita mencari dan menyelamatkan rakyat," tambah Amirudin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri dalam sidang medianya di Jelebu berkata, Menteri Besar atau Ketua Menteri boleh mengeluarkan arahan.
 
"Saya sudah maklumkan dalam mesyuarat tadi dengan semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang terlibat dengan Majlis Daerah dan sebagainya, supaya Menteri Besar boleh mengeluarkan arahan, juga kepada Pegawai Daerah (DO)," kata Ismail.

Terdahulu, portal Malaysiakini dan FriendsofSelangor melaporkan Amirudin dilantik selepas satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri pagi Selasa.

Portal itu dilaporkan sebagai berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat MKN di peringkat Persekutuan di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Ismail Sabri.

 
BACA SEMUA BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI 


Terdahulu, Amirudin dipetik sebagai berkata, beliau telah dihubungi MKN untuk sekali mempengerusikan MKN Selangor.

"Saya akan segera bekerja dan meminta semua pihak termasuk pembangkang menyelaraskan proses pemulihan dari sekarang," kata Amirudin, seperti dipetik portal dalam talian Free Malaysia Today.