MALAYSIA

Saya dianiaya, tapi akan terus berjuang - Yusoff Rawther

Yasmin Natasha 12/06/2025 | 06:40 MYT
Dalam kenyataan selepas pembebasan, Yusoff menegaskan akan terus berjuang menuntut keadilan, menyifatkan pengalaman dalam penjara sebagai ujian besar dan menzahirkan rasa syukur atas sokongan rakyat serta keluarganya. -Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhamed Yusoff Rawther menegaskan bahawa beliau tetap akan terus berjuang walaupun kini telah dibebaskan untuk mencari keadilan atas apa yang berlaku terhadap dirinya.

Ringkasan AI
  • Muhammed Yusoff Rawther, bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
  • Dalam kenyataan selepas pembebasan, Yusoff menegaskan beliau akan terus berjuang menuntut keadilan, menyifatkan pengalaman dalam penjara sebagai ujian besar dan menzahirkan rasa syukur atas sokongan rakyat serta keluarganya.
  • Beliau turut berterima kasih kepada pegawai penjara atas layanan baik sepanjang penahanannya dan menyifatkan pembebasan ini sebagai kemenangan untuk semua rakyat Malaysia.

Malah, Yusoff menyifatkan pengalaman ketika ditahan di penjara sementara perbicaraan kesnya di peringkat pihak pendakwaan selesai, sebagai satu ujian besar lebih-lebih lagi kerana beliau merasakan dirinya tidak bersalah.
“Saya tetap akan berjuang. Saya dianiaya, disalahi, diperlakukan dengan macam-macam cara. Tapi ini bukan noktah, ini merupakan permulaan kepada perjuangan yang lebih besar.
"Pengalaman dalam penjara sangat mencabar, terutama bagi seseorang yang tak pernah buat salah.
"Tapi saya berterima kasih kepada pegawai penjara yang menjaga keselamatan dan kebajikan saya dengan baik,” katanya semasa sidang media di Mahkamah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Yusoff juga menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang menyokongnya selepas beliau dibebaskan hari ini.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT yang menjaga saya selama ini. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan dan memberi sokongan, juga kepada peguam serta keluarga saya,” katanya dalam kenyataan pertama selepas pembebasannya.
"Saya rasa kemenangan hari ini adalah untuk semua rakyat Malaysia," ujarnya ringkas.
Hari ini, Muhammed Yusoff Rawther, 32, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan, tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh yang berusia 32 tahun itu.
Muhammed Yusoff diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman.
#Yusoff Rawther #Mahkamah Tinggi #dilepas dan dibebaskan