Skip to main content

Malaysia

'Saya hanya dengar arahan Menteri KKDW, bukan AMK' - Asyraf Wajdi tolak tuntutan tentang Pengerusi MARA

KUALA LUMPUR, 14 Mei -- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjawab soalan dari pengamal media pada Sesi Konsultasi Rang Undang-Undang MARA 2026 di sebuah hotel hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Asyraf Wajdi tegas tidak akan lepaskan jawatan Pengerusi MARA atas desakan AMK atau PKR, sebaliknya akur arahan KKDW. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak akan sesekali tunduk kepada desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahupun tuntutan PKR yang mahukan kerusi nombor satu agensi Bumiputera itu dilepaskan.

Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO itu menegaskan kedudukannya di agensi berkenaan adalah atas pelantikan serta mandat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, kata beliau, sebarang keputusan mengenai kedudukannya hanya tertakluk kepada arahan pucuk pimpinan kementerian berkaitan, bukannya atas desakan mana-mana pihak luar mahupun sayap pemuda parti sekutu.

"Saya ini dilantik oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, saya hanya menurut saja. Kalau Menteri KKDW minta untuk saya berhenti, saya berhenti. Tapi bukan atas desakan AMK atau parti Keadilan.

"Kerana pertama sekali, saya ini menjaga amanah parti, amanah parti untuk menjaga MARA yang lahir daripada rahim UMNO itu sendiri," katanya pada sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Menara Dato' Onn, di sini.

Terdahulu, kepimpinan AMK mendesak Asyraf Wajdi melepaskan jawatan tersebut kononnya atas alasan integriti susulan dakwaan beliau terpalit dengan isu Lembaga Tabung Haji (TH) sewaktu memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini.

Isu berkenaan turut memuncak apabila perwakilan dalam Kongres Nasional PKR sebelum ini secara terbuka menuntut agar jawatan Pengerusi MARA diserahkan kepada pemimpin parti itu, dengan alasan perlunya nafas baharu bagi memacu reformasi institusi teras Melayu berkenaan.

Mengulas peranannya sepanjang menerajui MARA, Asyraf Wajdi menegaskan komitmennya adalah untuk memulihkan dan memperkemas tadbir urus agar institusi tersebut terus kukuh dan tidak dicemari sebarang persepsi negatif.

"Ini adalah institusi orang Melayu dan Bumiputera dan sepanjang tiga tahun ini saya meletakkan asas penting untuk memastikan agenda pendidikan, usahawan orang Melayu ini terpelihara dan dapat kita perkasakan soal tadbir urus institusi yang kita perkemaskan.

"Supaya saya bukan lama pun di MARA ini, maknanya yang paling penting institusi ini akan tetap dipertahankan. Jangan ada usaha-usaha untuk merobek reputasinya," tegas beliau lagi.

 

Must Watch Video

Advertisement