DUNGUN: “Saya hanya mampu melihat Nor Haslini terkapai-kapai sebelum dihanyutkan arus deras dan tenggelam.”
Demikian luahan pilu seorang bapa, Din Zakaria, 77, yang masih terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan anak bongsunya, Nor Haslini Din, 47, selepas wanita itu dilaporkan terjatuh dari jambatan Sungai Paka di Jalan Jabor-Paka berhampiran Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini pada Jumaat.
Menurut Din, sebaik menyedari kejadian itu, dia terus bergegas ke jambatan yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Namun, segalanya berlaku terlalu pantas apabila dia hanya mampu menyaksikan anaknya terkapai-kapai sebelum dihanyutkan arus sungai yang deras.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, mangsa yang mempunyai masalah mental ditemukan lemas pada jam 10.30 pagi Sabtu.
Menurut beliau, mayat mangsa ditemukan terapung dalam operasi mencari dan menyelamat sebelum tersangkut pada ranting kayu kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Mayat ditemukan tersangkut pada ranting kayu kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dalam kejadian pada Jumaat, wanita itu dilaporkan terjatuh dari jambatan berketinggian 45 meter kira-kira jam 10.30 pagi.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Dalam pada itu, Din bersyukur apabila jasad anaknya berjaya ditemukan meskipun pemergiannya meninggalkan kesedihan mendalam buat keluarga. – Bernama