"Saya hanya tahu dari media" - Rafizi belum terima laporan kes serangan anak

Rafizi ketika ditemui semasa pelancaran kedai serbaneka FlexiMart di Shah Alam, sebuah inisiatif di bawah program Ayuh Malaysia. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata beliau masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung insiden serangan terhadap dirinya dan anaknya yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Rafizi Ramli belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung siasatan insiden serangan terhadap beliau dan anaknya, dan hanya mengikuti perkembangan melalui media.
- PDRM telah mengambil keterangan enam individu termasuk Rafizi dan isterinya, serta sedang meneliti rakaman CCTV di lokasi kejadian sebagai bahan bukti awal.
- Rafizi memaklumkan anaknya menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan sejak kebelakangan ini, namun enggan mengaitkannya secara langsung dengan insiden tersebut dan menyerahkan kepada doktor untuk penilaian lanjut.
Tambah beliau, sehingga kini, segala maklumat yang diperoleh hanyalah melalui laporan media, termasuk status siasatan dan keputusan ujian kimia berkaitan anaknya.
“Saya belum dimaklumkan apa-apa secara rasmi. Semua yang saya tahu, saya baca dari media. Laporan kimia pun belum saya terima,” katanya lagi.
Rafizi berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa pelancaran kedai serbaneka FlexiMart di Shah Alam hari ini, sebuah inisiatif di bawah program Ayuh Malaysia yang bertujuan memperkasa sosio-ekonomi masyarakat setempat.
Ketika ditanya mengenai keadaan kesihatan anaknya, Rafizi mengakui terdapat beberapa perubahan yang membimbangkan, namun enggan membuat sebarang kesimpulan berkaitan punca.
“Memang ada sedikit masalah kesihatan sejak kebelakangan ini. Tapi saya tak mahu terus kaitkan dengan insiden itu. Biarlah doktor jalankan ujian dan tentukan. Sekarang ini, banyak faktor boleh mempengaruhi kesihatan seseorang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, pada 14 Ogos memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil keterangan daripada enam individu termasuk Rafizi dan isterinya bagi membantu siasatan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut sedang diteliti sebagai bahan bukti awal.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 324 dan Seksyen 352 Kanun Keseksaan.
Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 1.45 petang itu, Rafizi menjelaskan bahawa anak dan isterinya baru sahaja masuk ke dalam kereta sebelum anaknya secara tiba-tiba ditarik dan dicucuk dengan jarum suntikan oleh individu tidak dikenali.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


