Skip to main content

Malaysia

'Saya mohon maaf bagi pihak ibu' - Anak Jaslinda

SHAH ALAM - Anak kepada pendaki wanita yang masih hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, mengambil kesempatan memohon maaf kepada orang ramai sekiranya ibunya pernah melakukan sebarang kesilapan sama ada secara sedar atau tidak.  Menerusi hantaran di aplikasi Threads menggunakan akaun deefzl._, permohonan maaf itu dibuat dengan rendah hati sebagai waris kepada Jaslinda yang dilaporkan hilang sejak 24 Mei lalu.
Hantaran di aplikasi Threads menggunakan akaun deefzl._ pada Khamis dan Jaslinda (kiri). -Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Anak kepada pendaki wanita yang masih hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, mengambil kesempatan memohon maaf kepada orang ramai sekiranya ibunya pernah melakukan sebarang kesilapan sama ada secara sedar atau tidak.

Menerusi hantaran di aplikasi Threads menggunakan akaun deefzl._, permohonan maaf itu dibuat dengan rendah hati sebagai waris kepada Jaslinda yang dilaporkan hilang sejak 24 Mei lalu.

"Sebagai waris, saya dengan rendah hati memohon maaf bagi pihak beliau," katanya.

Dalam hantaran sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan ibunya serta pihak terbabit dalam operasi pencarian.

Katanya, keluarga amat menghargai setiap doa, nasihat, petua dan sokongan yang diberikan sepanjang usaha mencari Jaslinda dijalankan.

"Ya Allah, terima kasih atas kehadiran setiap insan yang tidak putus-putus mendoakan ibu serta kepada semua anggota dan pihak yang terlibat dalam usaha pencarian.

"Semoga Allah SWT menerima dan mengabulkan segala doa yang dipanjatkan. Saya dan keluarga juga mendoakan agar setiap kebaikan, keikhlasan dan doa yang diberikan dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah SWT," jelasnya.

Menerusi hantaran itu juga, deefzl._ turut meluahkan kerinduan terhadap ibunya dengan menulis ringkas, 'ibu, we miss you'.

Terdahulu, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh

Beliau yang cedera di kaki sebelum itu difahamkan berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki yang mengalami masalah pernafasan dan seorang malim gunung di Kem Batu Core.

Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung bersendirian. -Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement