IPOH: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bersedia memikul tangungjawab membantu kerajaan dalam menangani soal kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, beliau bertekad membuktikan kepada kerajaan bahawa terdapat kaedah yang boleh dilaksanakan untuk menstabilkan harga barang seterusnya mengurangkan beban rakyat.

Bagaimanapun, Syed Abu Hussin berharap dapat diberi punca kuasa bagi membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab itu dengan lebih berkesan.

“Kalau lantik saya sebagai NGO, saya tak boleh buat tapi kalau ada punca kuasa, saya boleh merentas kementerian untuk menyemak stok, kartel dan sebagainya.

“Insya-Allah saya akan tunjukkan bagaimana beras boleh stabil harga,” katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Ikan, Udang Dan Sotong Murah Parlimen Tambun 2024 Dan Minum Pagi Bersama Penduduk Setempat di Padang Klebang Restu, di sini, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat program itu mengumumkan Syed Abu Hussin akan diberi tanggungjawab bagi mengetuai sebuah jawatankuasa di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).

Perdana Menteri berkata, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu akan berperanan membantu kerajaan dalam menangani soal kos sara hidup rakyat.

Syed Abu Hussin berkata, antara langkah paling awal yang akan dilakukan ialah dalam isu harga beras, diikuti barangan lain.

“Sekarang kritikal tak boleh kawal harga beras, barang tak ada dan rakyat bising (kerana) barang asas keperluan hidup harian tidak dapt dikawal.

“Kalau saya ada peluang diberikan kuasa untuk saya uruskan ini, insya Allah kita akan tunjukkan kepada rakyat dan kerajaan bahawa ada kaedah-kaedah boleh dibuat untuk stabilkan harga barangan utama,” ujarnya.

Tambahnya, dalam beberapa pertemuan dengan Perdana Menteri, beliau telah membentangkan modul yang membolehkan barangan keperluan dijual lebih murah tanpa perlu subsidi kerajaan.