GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan bahawa beliau tidak pernah berkonfrontasi dengan Kerajaan Kedah dalam isu bekalan air sebelum ini.

"Awak cukup kenal saya. Bila saya pernah mengeluarkan sebarang kenyataan konfrontasi terhadap Kerajaan Kedah?

"Jika pihak lain yang keluarkan kenyataan (konfrontasi), saya tidak tahu. Tapi itu bukan saya," katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Jumaat.

Kon Yeow berkata demikian ketika mengulas mengenai Pas Pulau Pinang yang meminta kerajaan negeri supaya menghormati dan tidak lagi berkonfrontasi dengan kerajaan Kedah berkaitan isu bekalan air.

Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, ia memandangkan Pulau Pinang bergantung kepada bekalan air dari Sungai Muda yang terletak di bawah kawal selia Kerajaan Negeri Kedah menerusi Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Lembaga Pengurusan Lembangan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau hanya meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyiasat kejadian gangguan bekalan air yang berlaku pada Ahad lalu.

"Saya cuma minta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyiasat kejadian itu,” katanya.

Sebelum ini, mengadakan lawatan Muka Sauk Lahar Tiang, Kepala Batas pada Isnin, Kon Yeow memohon SPAN supaya mengarahkan pihak-pihak berkuasa di Kedah dan Pulau Pinang untuk menyemak semua sistem dalam baraj di sepanjang Sungai Muda sama ada perlu diganti kerosakan yang berlaku atau menambah baik kerja penyelenggaraan.

Ujar Kon Yeow, kerajaan negeri juga meminta Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (UMBA) untuk menyusun dan melaksanakan Rancangan Lembangan Ulu Muda bagi kepentingan 4.2 juta orang penduduk di utara.

Pada Ahad, ribuan pengguna di tiga daerah iaitu di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) dan kawasan selatan Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air bermula Ahad hingga Rabu.

Menurut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), ini kerana, kejadian tidak diduga berlaku di Sungai Muda, Kedah menyebabkan paras air mentah di Muka Sauk Lahar Tiang PBAPP menurun ke bawah 1 meter iaitu hanya 0.4 meter yang mana, paras normal adalah melebihi 2 meter.

Kejadian itu berpunca daripada kerosakan mekanikal pada sensor automatik pada baraj Sungai Muda di Kedah.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri juga bersedia menerima apa sahaja cadangan, pandangan atau kritikan terhadap pihak berkuasa air Pulau Pinang, PBAPP bagi menambah baik pengoperasian bekalan air di negeri ini.

"Kita juga akan meneruskan usaha supaya rundingan berkaitan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) dapat diteruskan agar Pulau Pinang akan memperoleh sumber air mentah baharu.

"Pulau Pinang juga mempunyai pelan kontigensi sementara menunggu SPRWTS diluluskan yang mana kita ada lapan projek bernilai RM1 bilion yang ingin dilaksanakan termasuk pembinaan loji rawatan air dan sebagainya," katanya. - Sinar Harian