MALAYSIA
"Saya tak pernah turun ke sungai, tak pernah biar dia bersendirian" - Ibu Zayn Rayyan
PETALING JAYA: Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf berkata dia tidak pernah pergi ke kawasan sungai berdekatan kediamannya, tempat anaknya itu ditemui meninggal dunia.
Ringkasan AI
- Ismanira Abdul Manaf menegaskan dia tidak pernah ke kawasan sungai berhampiran kediamannya, lokasi penemuan mayat anaknya, Zayn Rayyan, dan menafikan sebarang pengabaian terhadap anaknya sepanjang hayat.
- Ismanira menyatakan dia hanya berjauhan dengan Zayn ketika bekerja atau ketika anaknya berada di sekolah, dan menolak dakwaan bahawa dia meninggalkan Zayn bersendirian seperti yang didakwa dalam pertuduhan.
- Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan, didakwa mengabaikan Zayn sehingga berisiko menyebabkan kecederaan fizikal, namun Zaim telah dibebaskan oleh mahkamah manakala Ismanira diperintah membela diri kerana wujud kes prima facie.
“Saya tidak pernah ke kawasan sungai (lokasi penemuan mayat Zayn) seperti dalam pertuduhan.
“Saya benar-benar kehilangan anak pada hari tersebut dan tidak mengabaikannya,” katanya.
Ismanira turut menegaskan dia tidak pernah meninggalkan Zayn bersendirian melainkan ketika bekerja dan Zayn berada di sekolah.
“Saya mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Zayn. Sepanjang hayatnya, saya hanya berpisah dengan Zayn pada waktu saya bekerja dan waktu Zayn di sekolah saja,” katanya lagi.
Sebelum ini, Ismanira bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, sebagai penjaga kepada Zayn Rayyan, 6, didakwa telah mengabaikan kanak-kanak itu sehingga berisiko menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, hingga ke lokasi anak sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada Isnin, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Zaim selepas mendapati tiada elemen pengabaian dibuktikan oleh pihak pendakwaan, manakala Ismanira, diperintah membela diri kerana wujud kes prima facie terhadapnya.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kediamannya kira-kira 200 meter dari Blok R, pada malam keesokannya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami