Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melarang rakan kongsi audit Chia Kwong Chow (Chia) dan Tai Yoong Noor (Tai) dari K. C. Chia & Noor menerima dan mengaudit mana-mana entiti berkepentingan awam (PIE) atau kumpulan wang jadual selama 12 bulan berkuat kuasa 10 Mei 2023.

SC dalam kenyataan hari ini berkata, AOB turut mengenakan denda sebanyak RM50,000 kepada Chia dan RM25,000 kepada Tai.

Menurutnya sebagai rakan kongsi tugasan, Chia telah gagal menilai kesesuaian PIE dengan memodalkan sejumlah besar yuran perundingan sebagai perbelanjaan tertunda selaras dengan keperluan Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS) 138.

"Chia juga gagal mendapatkan bukti audit yang sesuai dan mencukupi untuk mengesahkan sejumlah besar transaksi dengan rekod perbelanjaan tertunda yang tidak lengkap.

"Selain itu, tiada prosedur audit alternatif dilakukan untuk mengesahkan rekod yang tidak lengkap ini," kata pengawal selia pasaran modal itu.

SC berkata perbelanjaan tertunda kemudiannya diklasifikasikan semula sebagai aset bukan semasa dipegang untuk jualan.

Menurutnya Chia sekali lagi gagal menilai kesesuaian PIE mengklasifikasikan perbelanjaan tertunda sebagai aset bukan semasa dipegang untuk jualan mengikut keperluan MFRS 5.

Sementara itu, SC berkata Tai selaku penyemak kawalan kualiti tugasan telah gagal menyemak dengan secukupnya dokumentasi audit terpilih berkaitan pertimbangan penting dan bidang risiko penting dalam tugasan audit dan asas kesimpulan yang dicapai.

Katanya kekurangan audit yang telah ditemui oleh AOB telah menjejaskan kualiti audit keseluruhan.

"Sekatan itu dikenakan selepas proses sewajarnya termasuk proses rayuan, diberikan kepada mereka," kata SC.

-- BERNAMA