[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

SC sasar RM2 bln dalam AUM Skim SFO menjelang 2026

Bernama 06/10/2025 | 14:00 MYT
Mohammad Faiz berkata enam kelulusan bersyarat telah pun dikeluarkan dengan AUM indikatif berjumlah hampir RM400 juta. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyasarkan RM2 bilion dalam aset di bawah pengurusan (AUM) menjelang akhir 2026 di bawah Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) selepas menerima 30 penzahiran minat sejak skim itu dilancarkan pada September 2024.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata enam kelulusan bersyarat telah pun dikeluarkan dengan AUM indikatif berjumlah hampir RM400 juta.

"Antara yang sedang dijalankan ialah keluarga warganegara Malaysia yang membawa pulang kekayaan ke tanah air serta keluarga warga asing yang menubuhkan pangkalan serantau," katanya dalam ucapan perasmian pada taklimat media mengenai Skim Insentif SFO di sini hari ini.

Mohammad Faiz berkata ia susulan pewartaan rasmi Kementerian Kewangan mengenai Peraturan Cukai Pendapatan (Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal) (Zon Kewangan Khas Pulau 1 Forest City) 2025 pada 3 Okt 2025, menandakan kejayaan besar bagi skim itu.

"Kami juga ingin mengesahkan bahawa Malaysia kini terbuka untuk pelaburan jangka panjang dan didorong tujuan yang menyumbang kepada kemajuan negara," katanya.

Beliau berkata pewartaan rasmi tiga perintah cukai utama meliputi pengecualian cukai keuntungan modal, pelepasan duti setem dan kadar cukai sifar peratus untuk pendapatan yang layak adalah pencapaian diperoleh menerusi penyediaan menyeluruh.

"SFO dikehendaki mempunyai sekurang-kurangnya RM30 juta dalam AUM yang meningkat kepada RM50 juta selepas 10 tahun pertama. Aset ini akan diuruskan secara berpusat dari Malaysia, memastikan keputusan pelaburan, pengawasan dan fungsi tadbir urus dikenadalikan di dalam negara.

"Seterunsya, SFO dikehendaki melabur RM10 juta atau 10 peratus daripada AUM, mana-mana lebih rendah (untuk 10 tahun pertama) dan lebih tinggi (10 tahun akan datang) dalam pelaburan yang layak dan dipromosikan," katanya.

Beliau berkata setiap SFO juga mempunyai keperluan bahan ekonomi domestik yang besar termasuk perbelanjaan operasi tahunan minimum RM500,000 dalam tempoh awal, meningkat kepada RM650,000, seterusnya pengambilan profesional pelaburan dan penubuhan ruang pejabat dalam zon kewangan ditetapkan.

"Ini akan mempunyai kesan limpahan untuk perkhidmatan sokongan undang-undang, perbankan, hartanah, pendidikan dan lain-lain.

"Kami yakin bahawa tempoh 20 tahun skim dan proses pensijilan dua langkah ini akan memberikan pengawasan yang sewajarnya, kestabilan dan kebolehramalan diperlukan oleh kekayaan pelbagai generasi," katanya.

Melangkah ke hadapan, Mohammad Faiz berkata SC menjangkakan pengembangan berterusan akan terhasil dalam kepentingan domestik dan antarabangsa terutamanya dari rantau Asia dan Timur Tengah.

-- BERNAMA



#Kementerian Kewangan #warga asing #Suruhanjaya Sekuriti Malaysia #pelaburan jangka panjang