GADGETS

SDEC 2025 himpun pakar terkemuka dunia dalam bidang AI dan semikonduktor

Amzar Alif 26/09/2025 | 12:21 MYT
SDEC 2025 menghimpunkan tokoh AI dan semikonduktor bertaraf dunia seperti Jim Keller (Tenstorrent), CK Tseng (Arm), Prof. Jack Sun (TSMC), June Paik (FuriosaAI), serta wakil kanan industri dari Intel, Synopsys dan banyak lagi. - Gambar Sidec
KUALA LUMPUR: Konvensyen Selangor Smart City & Digital Economy (SDEC) kembali untuk edisi ke-10 dengan menghimpunkan barisan pakar global dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Bertemakan “AI x Semiconductor: Blitzscaling Malaysia’s Deep Tech”, SDEC 2025 menyokong aspirasi Selangor untuk menjadi hab teknologi tinggi (deep tech) serantau, di samping mempercepat pertumbuhan ekonomi digital negara.

Sebagai salah satu acara utama di bawah Selangor International Business Summit (SIBS) 2025, SDEC turut berperanan sebagai platform bersepadu yang menghubungkan inovasi, pelaburan dan pembangunan bakat di peringkat global.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec), Yong Kai Ping, penganjuran SDEC 2025 bakal memberi impak besar kepada landskap digital negara.

“SDEC 2025 ialah titik pertemuan Malaysia dengan dunia. Selangor berbangga memacu agenda deep tech negara dengan menghimpunkan pakar global, pelabur dan inovator di bawah satu bumbung. Konvensyen ini bukan sekadar pameran idea, tetapi membuka peluang sebenar untuk bakat tempatan dan syarikat pemula berkembang,” katanya dalam satu kenyataan media.

xxx


Sorotan utama SDEC 2025

Antara tarikan utama yang dijangka menarik ribuan peserta dari dalam dan luar negara termasuk:

• Selangor Twin Accelerator Final Demo Day (8 Okt, KLCC) – Platform pembentangan untuk syarikat pemula Retail-X dan Deep-X terbaik negara kepada pelabur dan rakan strategik ekosistem.

• Semiconductor Summit (9 Okt, Grand Hyatt) – Menghimpunkan tokoh industri seperti seperti Ketua Pegawai Eksekutif Tenstorrent, Jim Keller; Presiden Arm bagi ASEAN merangkap Timbalan Presiden Jualan Amerika Utara, CK Tseng; bekas Ketua Pegawai Teknologi TSMC, Prof Jack Sun; serta Naib Presiden Synopsys, Robert Li, bersama wakil kanan daripada Intel Foundry, AMD, SilTerra Malaysia, SkyeChip Malaysia dan pelbagai syarikat teknologi lain.

• AI Innovation Summit (10 Okt, Grand Hyatt) – tokoh teknologi global seperti Ketua Pegawai Eksekutif Cortical Labs, Dr Hon Weng Chong; Ketua Pegawai Eksekutif FuriosaAI, June Paik; serta wakil pelabur terkemuka daripada 500 Global.

• Malaysia Semiconductor Recruitment Day (8–11 Okt, KLCC) – Karnival kerjaya khusus sektor semikonduktor terbesar negara. Antara penyertaan termasuk syarikat antarabangsa seperti AMD, Infineon, STMicroelectronics, dan Texas Instruments Malaysia serta syarikat tempatan seperti Sophic Automation, Melexis Malaysia, Adoresys, dan Cortical Labs .

Penganjuran kali ini turut dijangka menjadi landasan strategik bagi melahirkan lebih banyak bakat tempatan, memperkasa syarikat pemula niaga serta merancakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam bidang teknologi tinggi.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar penyertaan di bit.ly/sidec2025 sebelum 8 Oktober 2025.


#SDEC 2025 #Yong Kai Ping #SIBS 2025 #semikonduktor