NATIONAL
SEB jamin operasi berjalan seperti biasa dalam persekitaran laporan siasatan SPRM
Sapura Energy Bhd (SEB) memberi jaminan kepada pelanggan, rakan kongsi, dan pemegang saham bahawa operasi serta aktiviti kewangannya, termasuk akses kepada akaun bank kumpulan, tidak terjejas dan berjalan seperti biasa. - Gambar fail/SEB
KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd (SEB) memberi jaminan kepada pelanggan, rakan kongsi, dan pemegang saham bahawa operasi serta aktiviti kewangannya, termasuk akses kepada akaun bank kumpulan, tidak terjejas dan berjalan seperti biasa.
Jaminan ini diberikan susulan laporan berita memetik sumber yang tidak didedahkan mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan seorang tokoh korporat, yang berkemungkinan mempunyai hubungan dengan saham SEB, khususnya berkaitan penggabungan SapuraKencana Petroleum Bhd dan Sapuracrest Petroleum Bhd.
"Sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab, SEB memberi kerjasama sepenuhnya dengan SPRM sebelum ini dan terus komited untuk memberikan sebarang bantuan lanjut yang diperlukan oleh pihak berkuasa," kata SEB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu berkata ia mempunyai dasar anti-rasuah yang ketat dan telah melaksanakan kawalan dalaman serta prosedur untuk mengurus dan mengurangkan risiko tersebut dengan berkesan.
"Sebagai syarikat yang tersenarai, kami berdedikasi untuk mengekalkan standard tinggi dalam tadbir urus korporat, ketelusan, dan integriti di semua peringkat organisasi," kata SEB.
-- BERNAMA