MALAYSIA

'Sebab nak tolong Melayulah hutang wajib dibayar!' - Asyraf Wajdi

Astro Awani 04/08/2025 | 04:30 MYT
Asyraf Wajdi (foto) menjelaskan tindakan mengeluarkan notis selepas tiga bulan kegagalan membayar adalah wajar dan berprinsip. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Teguran terhadap peminjam Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang gagal melunaskan bayaran bukanlah satu bentuk kekerasan, sebaliknya satu tanggungjawab demi kelangsungan bantuan kepada generasi seterusnya.


Ringkasan AI
  • Tindakan MARA mengeluarkan notis kepada peminjam selepas tiga bulan gagal membayar adalah wajar dan bertujuan memastikan kelangsungan dana untuk generasi akan datang.
  • Pengerusi MARA menegaskan bahawa membayar hutang adalah tanggungjawab dan amanah, bukan kekerasan, demi membantu lebih ramai pelajar dan usahawan Bumiputera.
  • MARA telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk skim pengurangan bayaran balik untuk memudahkan peminjam melunaskan hutang.


Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan tindakan mengeluarkan notis selepas tiga bulan kegagalan membayar adalah wajar dan berprinsip.

“Ada yang menghantar mesej mempersoalkan kenapa saya terlalu keras kepada penghutang MARA, tiga bulan tak bayar sudah dapat notis, katanya nak tolong Melayu.

“Maaf ya! Sebab nak tolong Melayulah hutang wajib dibayar.

"Ramai lagi anak bangsa yang perlu dibantu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


Terdahulu, dalam kenyataan di media sosial, beliau mengingatkan peminjam bahawa pembayaran semula pinjaman adalah asas kepada kelestarian dana MARA yang digunakan untuk membantu lebih ramai pelajar dan usahawan Bumiputera.

Menurutnya, sikap sambil lewa terhadap tanggungjawab membayar hutang bukan sahaja menjejaskan keupayaan MARA untuk terus memberi bantuan, malah mencerminkan kegagalan memelihara amanah.

MARA sebelum ini memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memudahkan peminjam membuat bayaran, termasuk skim pengurangan bayaran balik pinjaman pelajaran yang telah diluluskan oleh Majlis MARA.





#Asyraf Wajdi Dusuki #MARA #Melayu #gagal bayar hutang