MALAYSIA

Sebar video seks bersama isteri-isteri, penceramah bebas ditahan polis

Umavathi Ramayah 05/07/2025 | 08:15 MYT
Mohd Iqbal (foto) berkata, suspek sebelum ini ditahan reman empat hari dan diberi jaminan pada Sabtu sementara menunggu siasatan selesai. -Foto fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Seorang penceramah bebas ditahan polis selepas dipercayai menyebarkan video seks yang memaparkan dirinya bersama isteri-isteri dan wanita lain.


Ringkasan AI
  • Penceramah bebas berusia 39 tahun ditahan polis selepas dipercayai menyebarkan video seks melibatkan dirinya, isteri-isteri dan beberapa wanita lain.
  • Suspek ditahan pada 1 Julai dan direman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.


Lelaki itu ditahan selepas isteri keduanya membuat laporan pada 16 Jun lalu, mendakwa suaminya menyebarkan video hubungan intim mereka, madu-madunya, serta beberapa wanita lain.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu ditahan pada 1 Julai lalu dan direman empat hari.

Bagaimanapun, kata beliau, dia diberi jaminan pada Sabtu sementara menunggu siasatan selesai.

Menurutnya, polis turut merampas dua telefon pintar dan sebuah komputer riba milik suspek.

"Hasil semakan dalam telefon bimbit milik suspek, polis menjumpai beberapa video seks suspek dengan isteri-isterinya dan juga gambar-gambar mengaibkan beberapa wanita lain," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Sabtu.

Mohd Iqbal memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga, katanya, disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mira Noraien Norashid di talian 011-1143 0765 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.



#sebar video seks #penceramah bebas ditahan #Polis Diraja Malaysia #mengaibkan