Sebarang usaha normalisasi seks songsang tidak akan dikompromi - KP Jakim

Sirajuddin berkata perlakuan seks songsang jelas bercanggah dengan prinsip serta ajaran agama, di samping bertentangan dengan nilai akhlak, tamadun dan kerangka perundangan negara. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan pihak berkuasa memantau rapi penganjuran program "Glamping With Pride" dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha atau pendekatan yang bertujuan menormalisasikan perlakuan seks songsang.
Ringkasan AI
- JAKIM menegaskan pemantauan ketat terhadap program "Glamping With Pride" bagi mengelak normalisasi perlakuan seks songsang.
- Ketua Pengarah JAKIM menyatakan bahawa perlakuan seks songsang bertentangan dengan prinsip agama dan undang-undang negara.
- JAKIM bersama agensi berkaitan tidak akan berkompromi terhadap sebarang program yang bercanggah dengan nilai Islam, dan akan ambil tindakan tegas selaras undang-undang yang sedia ada.
"Perkara ini sememangnya berada dalam pemantauan rapi Jakim bersama Jabatan Agama Islam Selangor dan Polis Diraja Malaysia.
"Pihak berkuasa memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjuran atau pelaksanaan program yang didapati bercanggah dengan ajaran Islam, peruntukan undang-undang serta ketenteraman awam, dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata Jakim akan terus melaksanakan peranan penerangan, pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam, agar tidak terpengaruh atau menormalisasikan perlakuan songsang sebagai satu gaya hidup.
"Semua pihak adalah dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan menyerahkan sebarang isu berkaitan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Program 'Glamping With Pride' yang dijadualkan berlangsung di Hulu Langat, Selangor hujung minggu depan dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan sebagai platform untuk memberi tumpuan kepada isu kesihatan dan hak bagi lelaki gay, biseksual serta lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


