MALAYSIA

Sebuah lagi ladang babi di Tasek Gelugor dijangkiti ASF

Bernama 27/07/2025 | 15:45 MYT
Saira Banu berkata sebanyak 1,083 ekor babi telah dilupuskan, melibatkan dua daripada empat ladang yang disahkan positif dengan kesemuanya ditanam di kawasan tanah milik penternak itu sendiri. - Gambar hiasan/Sinar Harian
KEPALA BATAS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) mengesahkan sebuah lagi ladang babi di Kampung Selamat, di sini dijangkiti penyakit demam babi afrika (ASF) menjadikan keseluruhan ladang babi di kawasan itu yang positif ASF kepada empat.

Pengarahnya Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata keputusan itu berdasarkan kepada sampel ujian yang dilakukan pihaknya, namun penularan penyakit itu di kawasan tersebut masih lagi terkawal.

"JPVPP sedang giat menjalankan siasatan lanjut dan pengambilan sampel susulan di ladang-ladang yang berkaitan dan setakat ini, penyakit itu dapat dikawal dan tidak merebak dengan cepat dengan setakat ini hanya ada satu lagi pertambahan ladang yang positif, menjadikan empat ladang keseluruhannya ketika ini.

"Ladang lain-lain di Kampung Selamat dan Seberang Perai Selatan serta Barat Daya masih lagi bebas daripada ASF dan setakat ini jumlah haiwan itu yang positif juga tidak ada berlaku penambahan yang terlalu banyak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringat Pulau Pinang di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pulau Pinang di sini, dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Saira Banu berkata sebanyak 1,083 ekor babi telah dilupuskan, melibatkan dua daripada empat ladang yang disahkan positif dengan kesemuanya ditanam di kawasan tanah milik penternak itu sendiri.

Beliau berkata bagi dua ladang lagi, pihaknya akan memulakan pelupusan babi esok dan berdasarkan pemantauan pihaknya banyak haiwan tersebut telah pun mati.

"Proses pelupusan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan dan dilaksanakan di kawasan milik penternak yang disahkan sesuai oleh JPVPP, manakala pelupusan di dua lagi ladang akan dibuat di tanah kerajaan iaitu di kawasan tanah rentis dengan keizinan Tenaga Nasional Berhad di Seberang Perai Utara, tetapi kami perlu melaksanakannya dengan sangat berhati-hati sebab kawasan tersebut agak berisiko," katanya.

Beliau berkata pihaknya menasihatkan peraih atau penternak agar tidak berkongsi lori pengangkut babi ke rumah sembelih yang boleh menyebabkan pencemaran silang semasa pengangkutan dan berlaku penularan penyakit ASF.

"Dari segi kerugian itu kita tunggu dulu sebab kita pun tak kira lagi, tapi apabila ladang tersebut positif semua ternakan terpaksa dilupuskan dan untuk empat ladang itu populasi babi ada lebih kurang 6,000 ekor," katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga buah ladang ternakan babi di Kampung Selamat, disahkan positif jangkitan ASF berdasarkan keputusan ujian makmal yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara.

Dua daripada tiga ladang itu turut menunjukkan kadar kematian ternakan yang tinggi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penularan ASF ke ladang-ladang berdekatan.

-- BERNAMA


#nelayan #ladang babi #ASF #ujian makmal